KUALA LUMPUR: Kedudukan Menteri Besar Sela-ngor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkemungkinan akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, ketua umum parti itu berkata, beliau sendiri tidak dapat memastikan nasib yang bakal menimpa ADUN Pelabuhan Klang itu dan segalanya terpulang kepada keputusan mesyuarat yang bermula jam 3 petang.
“Tunggu mesyuarat esok (hari ini), itu keputusan MPP untuk putuskan kedudukan Khalid, saya tidak pasti sama ada keputusan itu esok (hari ini) semasa mesyuarat itu. Itu saya tidak boleh pastikanlah,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditanya mengenai kemungkinan Abdul Khalid, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, akan dipecat ekoran tindakan Menteri Besar itu enggan mematuhi arahan parti untuk berundur dan digantikan dengan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ditanya mengenai keputusan Majlis Syura PAS baru-baru ini, yang menyokong Abdul Khalid dikekalkan, Anwar berkata, PKR tidak terikat dengan keputusan PAS, namun beliau tetap menghormati PAS sebagai rakan komponen dalam Pakatan Rakyat.
“PAS adalah parti komponen dalam Pakatan, kita mengambil maklum dan menghormati pandangan tetapi ada beberapa penjelasan juga kita perlu sampaikan secara baik,” kata Anwar. — Bernama