Anda di sini

Majlis Senator mahu tindakan tegas terhadap individu hina Agong

Advertisement

KUALA LUMPUR: Majlis Senator Malaysia (MSM) mahu tindakan tegas diambil terhadap pemilik laman sosial Facebook ‘Chandra Lawan Tetap Lawan’ yang menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Presidennya Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata tindakan tegas termasuk membawa individu tidak bertanggungjawab itu ke muka pengadilan adalah perlu memandangkan perbuatannya jelas mempersenda dan tidak menghormati ketua negara.

Selain memberi pengajaran kepada pemilik akaun Facebook berkenaan, tindakan tegas itu juga sebagai langkah memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melakukan perkara sama, katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Kata Abdul Rahim, MSM membuat laporan polis berhubung perkara itu, dua hari lepas.

Beliau berkata pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri mungkin menjadi antara penyebab rakyat negara ini semakin berani melakukan perkara sedemikian.

“Bagaimanapun, kita masih ada undang-undang lain, misalnya Akta Hasutan 1948, yang mana kerajaan masih boleh mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan perkara seumpama ini,” katanya.

Dilaporkan individu tidak bertanggungjawab itu dengan sengaja menghina Tuanku Abdul Halim dengan memuat naik gambar kemalangan ngeri dengan suntingan wajah baginda di laman Facebook baru-baru ini. — Bernama

Advertisement