Anda di sini

Khalid minta sesi pendengaran ditangguhkan ke 15 Ogos

Advertisement

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau telah meminta Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menangguhkan sesi pendengaran berhubung dakwaan salah laku, dan mencadangkan ia diadakan pada 15 Ogos.

Katanya, ini berikutan tempoh masa yang diberikan kepada beliau untuk memberi penjelasan sangat singkat.

“Surat sudah dihantar pagi ini (semalam) dan oleh kerana masa sangat suntuk saya telah minta supaya jika perlu, pendengaran dibuat pada 15 Ogos ini.

“Kini saya sedang menunggu jawapan balas (daripada Lembaga Disiplin PKR). Isi kandungan surat itu saya akan muat naik untuk perhatian umum,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama warga kerja Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Abdul Khalid mengulas arahan Lembaga Disiplin PKR yang meminta beliau hadir ke sesi pendengaran badan itu di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada jam 3 petang semalam.

Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata beliau tidak akan menghadiri sesi pendengaran semalam kerana perlu menghadiri perjumpaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

“Saya tidak akan pergi petang ini (semalam) sebab saya ada perjumpaan dengan Abdul Wahid untuk berbincang tentang pembangunan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11),” katanya.

Dalam sesi pendengaran itu, Abdul Khalid, antara lain diminta menjelaskan isu berkenaan penstrukturan semula industri air Selangor; elaun baharu Menteri Besar; kenaikan cukai bagi lesen perniagaan; isu pinjaman Abdul Khalid dengan Bank Islam dan cadangan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX).

Sebelum ini, beliau diberikan notis tunjuk sebab oleh lembaga disiplin itu kerana mengingkari keputusan PKR untuk beliau berundur bagi melantik Menteri Besar Selangor yang baharu.

Sementara itu, Abdul Khalid menafikan kewujudan surat akuan bersumpah yang dikatakan meminta semua wakil rakyat termasuk exco kerajaan negeri daripada PKR memberi sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR untuk menjadi Menteri Besar.

Abdul Khalid menegaskan surat akuan bersumpah yang mana pihak yang menandatanganinya diminta mengesahkan tidak lagi mempunyai kepercayaan kepada beliau sebagai Menteri Besar Selangor, tidak wujud sama sekali.

“Tidak apa…itu memang perkara biasa (dalam politik). Terlalu banyak surat palsu,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang.

Surat akuan berkenaan dilaporkan turut meminta pendirian wakil rakyat PKR untuk memberi sokongan serta kepercayaan kepada Dr Wan Azizah yang juga ADUN Kajang untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu. — Bernama

Advertisement