Anda di sini

Khairy mahu kemelut BAM, Rashid Sidek diselesaikan

Advertisement

KLUANG: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Jurulatih Perseorangan Lelaki Skuad Badminton Kebangsaan, Rash­id Sidek mencari penyelesaian terbaik bagi menghentikan kemelut antara mereka.

Khairy berkata pihaknya berharap ‘perang dingin’ antara Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dan Rashid dapat diselesaikan seg­era tanpa berterusan di dada akhbar.

“Saya minta BAM dan Rash­id hentikan perang di media kerana mereka dalam satu or­ganisasi. Kalau tidak puas hati panggillah secara bersemuka. Tidak payah cakap dan ber­debat dalam media, hubungi Rashid dan bercakap dengan­nya,” katanya kepada pember­ita selepas merasmikan mesy­uarat persidangan perwakilan sayap Umno bahagian Kluang, di sini semalam.

Khairy berkata BAM ketika ini perlu melantik pengarah teknikal bagi mengasingkan peranan antara jurulatih dan juga bahagian-bahagian lain dalam pembangunan sukan badminton.

Beliau berkata ketiadaan pengarah teknikal sehingga kini dipercayai sebagai peny­umbang kepada kepincangan badan induk badminton itu.

“Saya harap dalam masa terdekat BAM dapat kemu­ka nama kepada saya sebab akhirnya mungkin Majlis Su­kan Negara (MSN) kena bayar (Pengarah Teknikal) juga.

Mesti ada pemisahan antara bahagian teknikal dan bahagian jurulatih dan saya harap kepin­cangan ini diselesaikan segera,” katanya.

Pergolakan BAM dan Rashid dikatakan semakin memuncak selepas kemerosotan prestasi skuad perseorangan badminton negara pada temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scot­land baru-baru ini, membabit­kan Liew Daren.

Dalam perkembangan lain, Khairy turut meminta supaya bayaran Skim Galakan Jurulatih (SGAR) sejumlah RM16,000 dilunaskan segera oleh BAM kepada barisan jurulatih skuad badminton yang membantu pasukan negara mara ke per­lawanan akhir Piala Thomas, Mei lalu.

“Ia hak jurulatih, kenalah bagi jurulatih. Itu duit MSN yang saya luluskan. Tidak ada sebab BAM tidak bagi duit itu kepada jurulatih,” katanya. — Bernama

Advertisement