Anda di sini

Kerajaan kenal pasti ketua-ketua agama dihantar ke Amsterdam

Advertisement

NABAWAN: Kerajaan mengenal pasti ketua-ketua agama berkenaan untuk dihantar ke Amsterdam dalam masa terdekat bagi membantu mengurus jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, mengikut cara agama masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata persiapan itu dilakukan bagi membantu keluarga 22 penumpang dan anak kapal bukan Islam yang terkorban dalam nahas itu.

Kurup, selaku menteri bertanggungjawab untuk menjaga hal ehwal pengurusan mayat bukan Islam bagi nahas itu, berkata demikian selepas merasmikan majlis pemimpin bersama rakyat di Rumah Panjang Kampung Panarakan di sini, semalam.

Beliau berkata semua jenazah akan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Jenazah MH17 yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin sebaik tiba di ibu negara sebelum diserahkan kepada waris mangsa masing-masing untuk upacara pengebumian.

Penerbangan MH17, yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 warga Malaysia, dipercayai ditembak jatuh, namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Terdahulu, Kurup yang juga presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menggesa penduduk di pedalaman supaya bersatu dan setia kepada pemimpin kerana tanpa sokongan padu sukar bagi seseorang pemimpin melaksanakan pembangunan di kawasan terbabit.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi oleh penduduk di mukim Pamuntrian Nabawan bagi memastikan mereka menikmati kemudahan yang akan disediakan,” katanya.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan 154 kad keanggotaan PBRS kepada penduduk Kampung Panarakan, Kampung Katalirus dan Kampung Pohon Batu. — Bernama

Advertisement