KLUANG: Pergerakan Pemuda UMNO meminta penambahbaikan dilakukan terhadap undang-undang sedia ada bagi membolehkan tindakan tegas dan segera dapat dikenakan terhadap pihak atau individu yang menghina mana-mana agama dan kaum di negara ini.
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata pihaknya melihat terdapat kelewatan tindakan terhadap sesetengah kes ketika ini yang sekali gus dikhuatiri menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti kerajaan dan penguat kuasa undang-undang dalam menangani isu berkenaan.
“Pemuda UMNO mahu tindakan tegas dan cepat dikenakan terhadap sesiapa yang menghina agama dan kaum di negara ini kerana kita mahu menjaga keharmonian rakyat di negara ini.
“Kita tidak mahu rakyat tertanya-tanya mengenai ada sesetengah kes (menghina) yang ditangani dengan cepat tetapi ada juga sesetengah kes yang tidak dikenakan tindakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan sayap UMNO bahagian Kluang, di sini, semalam.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata beliau sudah membangkitkan isu berkenaan di dalam mesyuarat kabinet tiga hari lepas bagi menyuarakan keluhan yang dialami rakyat.
Beliau berkata telah ada satu keputusan kerajaan mengenai isu terbabit dengan mengarahkan pihak-pihak yang berkenaan supaya menyegerakan siasatanterhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.
Sementara itu, Khairy berkata pihaknya mendesak Barisan Nasional (BN) meletakkan 30 peratus calon golongan muda pada pilihan raya umum akan datang bagi melahirkan lebih ramai pemimpin muda di bawah umur 40 tahun.
Beliau berkata sudah tiba masanya BN melakukan transformasi berkenaan dalam memantap dan meremajakan parti memandangkan sudah ramai pemimpin muda di pihak pembangkang ketika ini.
“Kita mahu 30 peratus wakil generasi muda disenaraikan pada pilihan raya akan datang seiring dengan Wanita UMNO yang mahukan 30 peratus golongan wanita di peringkat pembuat dasar di kerajaan pusat, kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Jangan kata kita tidak bersedia kerana kita sudah ada ramai pemimpin muda yang dilatih dengan baik dan bersedia untuk melakukan tanggungjawab berkenaan,” katanya.
Mengulas mengenai boikot terhadap produk dan jenama yang dikaitkan dengan Israel, Khairy meminta semua pihak berfikir secara rasional dan tidak bertindak keterlaluan seperti yang berlaku terhadap rangkaian francais McDonald’s di Dungun, Terengganu.
Menurutnya, boikot boleh dilakukan atas pilihan setiap individu, namun ia perlu terhadap sasaran dan bukannya ke atas pihak yang tidak mempunyai kepentingan terhadap apa yang berlaku di Palestin.
Khairy menegaskan, tindakan agresif dengan memaki hamun pekerja rangkaian francais terbabit adalah tersasar dari tujuan sebenar boikot memandangkan pekerja dan pemilik rangkaian francais McDonald’s adalah rakyat negara ini.
Mengenai isu Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) dari Singapura, beliau berkata Pergerakan Pemuda UMNO menyokong pelaksanaannya dan berharap Kementerian Pengangkutan mengemukakan kepada kabinet secepat mungkin untuk pertimbangan pelaksanaan itu.
“Kita juga mahukan sistem yang boleh kita tuntut segala saman trafik yang tidak dibayar oleh rakyat Singapura. Ini bukan tindak balas kerana Singapura mengenakan VEP terhadap kita tetapi ini adalah soal kutipan hasil kerajaan dan bagi menampung penyelenggaraan jalan raya negara ini,” katanya. — Bernama