KUALA LUMPUR: Cuaca kering yang sedang melanda negara sehingga menyebabkan kekurangan air di beberapa empangan dijangka terkawal berikutan cuaca diramal lebih lembap penghujung minggu ini.
Timbalan Ketua Pengarah Iklim dan Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari berkata taburan hujan sudah mulai meningkat kerana hujan diramal kerap turun, namun cuaca kering masih berlaku ekoran perubahan cuaca hasil tiupan angin taufan.
“Bulan Ogos masih menunjukkan keadaan cuaca yang kering, namun menjelang bulan September, cuaca mulai lembap kerana bermulanya musim tengkujuh,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata walaupun taburan hujan dijangka meningkat, namun kerja-kerja pembenihan awan tetap akan diteruskan bagi membantu meningkatkan peratusan bekalan air mentah di kawasan tadahan.
Mengenai fenomena El-Nino yang dijangka melanda Malaysia penghujung tahun ini, beliau berkata data terkini menunjukkan petanda fenomena yang semakin lemah.
“Petanda untuk dilanda El-Nino kini hanya pada tahap 50 peratus kerana taburan hujan semakin meningkat dan andai El-Nino melanda pun hanya pada tahap lemah,” kata Alui.
Sementara itu Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran berkata walaupun kadar taburan hujan semakin meningkat, namun langkah melaksanakan catuan air masih wajar dan perlu disegerakan kerana paras empangan air Selangor masih berada pada tahap yang rendah.
“Paras air di Sungai Selangor mencatatkan bacaan 39.1 peratus pada hari ini (semalam) sementara paras empangan air yang selamat menurut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) adalah 55 peratus,” katanya.
“Risiko kekurangan taburan hujan masih ada dan paras empangan Sungai Selangor perlu dinaikkan ke paras yang selamat untuk mengelakkan krisis air yanglebih teruk,” tambahnya. — Bernama