Anda di sini

Anwar setuju bertemu Khalid, pemimpin pakatan pembangkang

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mengadakan pertemuan lapan mata dengan empat pemim-pin nasional pakatan pembangkang bagi menyelesaikan krisis Menteri Besar Selangor yang kian meruncing.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Anwar telah menyatakan persetujuannya itu dalam mesyuarat PKR semalam, yang turut dihadiri Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

“Pagi ini (semalam), saya telah sampaikan (cadangan) kepada Anwar dan beliau berkata tiada halangan untuk mengadakan pertemuan lapan mata itu bersama pemimpin DAP, PAS, PKR dan malah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Ia adalah untuk meleraikan situasi dan kita akan cuba aturkan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita di ibu pejabat PKR di sini, semalam.

Mengulas pendirian Majlis Syura PAS yang bertegas untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar, Shamsul Iskandar berkata beliau menghormati keputusan itu.

“Namun, saya yakin PAS tidak mempunyai maklumat lengkap tentang perkara ini…kerana soal pelantikan dan sebagainya adalah keputusan yang kita putuskan secara biasa dalam parti. Pada hemat saya, mungkin kita perlu memberi penjelasan maklumat yang mendalam tentang ini,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan PAS juga akan membuat pusingan ‘U’ terhadap pendirian mereka, Shamsul Iskandar berkata ia tidak mungkin memandangkan PAS mempunyai pandangan dan pendapat sendiri setelah meneliti pelbagai maklumat dan alasan konkrit.

“Saya cuma berharap akhir-nya nanti Jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan yang tepat bagi menyelesaikan isu ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Tan Kee Kwong berkata Abdul Khalid, menerusi sepucuk surat semalam, meminta untuk menangguhkan kes beliau daripada semalam kepada 15 Ogos ini. — Bernama

Advertisement