Anda di sini

Tiket muaythai Piala TYT mula dijual

Advertisement

KUCHING: Tiket Kejohanan Muaythai Sarawak Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2014 mula dijual dengan harga RM50 dan RM30 bagi tempat duduk VIP manakala RM10 bagi tempat duduk biasa.

Mereka yang berminat untuk menempah tiket boleh menghubungi nama tertera dalam poster kejohanan.

Ia akan diadakan pada 22 Ogos ini di Stadium Perpaduan, Petra Jaya dengan menampilkan ramai petinju tempatan yang mewakili beberapa kelab muaythai di sekitar Kuching, Lundu dan Bintulu.

Kejohanan ini anjuran bersama Persatuan Muaythai Kuching (PMK), Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) dengan kerjasama DBKU, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan agensi-agensi berkaitan.

Empat kategori akan dipertandingkan menyaksikan lapan peserta bersaing dalam kategori 45-48kg bagi merebut piala pusingan TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Manakala bagi kategori kedua bakal menyaksikan pertembungan menarik antara Zahid Haizan dan Heendrew Lois bagi merebut Piala Pusingan PMK.

Juara kedua-dua kategori ini akan menerima piala, tali pingang kejohanan beserta wang tunai.

Bagi Piala Remaja 2014, seramai lapan peserta dari sekitar Kuching dan Lundu mengesahkan penyertaan dalam kategori 45-48kg di mana pemenang bakal membawa pulang piala dan wang tunai.

Kategori terakhir yang pastinya ditunggu-tunggu Superfight Jemputan Antarabangsa akan menyaksikan pertembungan sengit lapan petinju jemputan antarabangsa daripada Malaysia, Indonesia, Thailand dan New Zealand.

TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dijangka hadir menyaksikan perlawanan akhir dan menyampaikan hadiah kepada pemenang di sebelah malam.

 

Advertisement