Anda di sini

Pengusaha haram meningkat

Advertisement

KOTA KINABALU: Kurang penguatkuasaan dalam undang-undang berkaitan pelancongan sedia ada membawa kepada peningkatan jumlah operator pelancongan tidak berdaftar di negeri ini.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Hamzah Rahmat berkata, apa yang dapat dilihat dalam sektor pelancongan sejak beberapa bulan kebelakangan ini adalah kurangnya penguatkuasaan dari segi undang-undang.

Berdasarkan keadaan sekarang, sukar untuk melihat kes melibatkan operator tidak berdaftar dikenakan hukuman di mahkamah.

“Undang-undang sedia ada memang sudah mencukupi dan kita tidak memerlukan undang-undang tambahan untuk menangani masalah (berkaitan pelancongan) yang berlaku.

“Apa yang perlu dilakukan adalah menguatkuasakan undang-undang dan cara terbaik adalah dengan mengenakan hukuman yang lebih berat seperti hukuman penjara dan denda yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan isu operator pelancongan tidak berdaftar di Sabah serta Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Matta di Hotel Promenade, di sini kelmarin.

Melalui Akta Industri Pelancongan 1992, pesalah boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara hingga lima tahun.

Jumlah operator pelancongan tidak berdaftar dianggarkan lebih daripada jumlah operator pelancongan berdaftar. Di Sabah, terdapat seramai 400 operator berdaftar yang direkodkan dan di seluruh Malaysia, ada seramai 3,000 ahli Matta yang berdaftar.

Menurutnya, apa yang menyukarkan untuk mengesan operator tidak berdaftar ini adalah mereka memperkenalkan diri untuk membawa keluarga bersiar-siar di kawasan tumpuan pelancongan.

“Kebanyakan operator pelancongan tidak berdaftar ini selalu terlepas kerana mereka memberi alasan membawa keluarga ketika melawat pusat pelancongan di Sabah. Apa yang pelik adalah keluarga mereka hari ini ‘orang putih’ dan esoknya Cina.

“Disebabkan mereka gunakan alasan membawa keluarga bersiar-siar, mereka mudah terlepas dari dikenakan tindakan,” katanya.

Ke arah membanteras masalah operator pelancongan tidak berdaftar ini, Hamzah mencadangkan agar kerajaan melalui agensi berkaitan agar memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tumpuan pelancongan seperti di lapangan terbang dan jeti bagi memudahkan operator tidak berdaftar dikenalpasti.

“Bukti yang ada ini boleh digunakan di mahkamah untuk memudahkan hukuman dijatuhkan kepada operator tidak berdaftar. Tiada lagi alasan yang boleh diberikan untuk elakkan diri daripada dijatuhi hukuman,” jelasnya.

Hamzah juga menyarankan ejen-ejen pelancongan agar mengubah cara mengendalikan perniagaan untuk menuju ke arah negara maju.

“Pemandu pelancong sebenarnya tidak perlu jika ingin bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Apa yang diperlukan hanyalah melantik pemandu pelancongan tempatan yang berada di tempat yang dituju.

“Saya tidak menyatakan bahawa kita tidak memerlukan pemandu pelancong tetapi cara untuk menjadi pemandu pelancong harus diubah dengan mempromosikan pemandu pelancong tempatan.

“Misalnya, jika orang yang berasal dari Kuala Lumpur menjadi pemandu pelancong di Kota Kinabalu (KK). Persoalannya, sebanyak mana yang mereka tahu mengenai KK kerana mereka hanya bertindak sebagai pemandu pelancong,” katanya.

Pengerusi Matta Sabah Robert Chong berkata, isu itu dibangkitkan berikutan permintaan ahli-ahli Matta yang meminta penguatkuasaan secara berterusan dilakukan oleh Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Sabah (Motac) untuk menangani isu pengangkutan dan operator pelancongan tidak berlesen.

“Isu ini sudah berlaku sejak empat hingga lima tahun lalu tetapi penguatkuasaan masih kurang,” katanya.

Berdasarkan statistik Motac Sabah, sejak Oktober 2013 hingga April 2014, sebanyak 34 kenderaan pelancongan tidak berlesen dikenakan saman dan dikompaun semasa operasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijalankan untuk membanteras pengangkutan pelancongan tidak berdaftar.

Untuk itu, Matta mencadangkan agar Akta Pengangkutan Pelancongan 1999 dikaji semula agar tindakan tegas boleh dikenakan ke atas kenderaan pelancongan tidak berlesen.

Ditanya bagaimana operator pelancongan tidak berdaftar mendapat pelanggan, beliau berkata, adakalanya pelanggan diperoleh melalui laman mudah.com atau blogspot.

Robert berkata, operator pelancongan tidak berdaftar ini menawarkan pakej yang murah sehingga 40 peratus daripada operator pelancongan berdaftar tetapi, ia berisiko tinggi jika berlaku sebarang masalah.

Ditanya mengenai usaha pembaharuan lesen pelancongan yang akan dibuat bermula 15 September ini, beliau berkata usaha itu dilihat mampu mengurangkan kos operasi sekali gus membolehkan pakej pelancongan ditawarkan lebih murah berbanding sebelum ini.

“Oleh itu, diharap ia akan membantu pelancong yang menggunakan khidmat operator pelancongan tidak berdaftar untuk beralih kepada operato berdaftar,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Matta Sabah KL Tan berkata, undang-undang sedia ada iaitu Akta Industri Pelancongan 1992 perlu diubah agar mempunyai lebih kuasa untuk menangani masalah operator tidak berdaftar.

Turut hadir dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri itu adalah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

 

Advertisement