Anda di sini

Media diberi akses lapor istiadat bawa pulang jenazah mangsa nahas MH17

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pihak media akan diberi akses sebaik mungkin supaya dapat memberi laporan terperinci istiadat membawa pulang jenazah nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 kelak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata laporan terperinci itu perlu supaya waris mangsa MH17 dan orang ramai mendapat gambaran menyeluruh mengenai proses membawa pulang dan istiadat menyambut jenazah yang dibuat di sini.

“Seboleh-bolehnya ia (laporan media terperinci) dibuat bagi mengelak timbulnya persepsi negatif terhadap proses membawa pulang dan menyambut jenazah mangsa MH17 itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat pertama jawatankuasa koordinasi persediaan pelaksanaan istiadat penerimaan jenazah warganegara Malaysia tragedi pesawat MH17 di Kementerian Pertahanan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang persiapan dilakukan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk istiadat menyambut jenazah mangsa MH17.

Ahmad Shabery berkata pihaknya akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam membuat persiapan mengenai istiadat menyambut jenazah itu.

Penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal, dipercayai ditembak jatuh. — Bernama

Advertisement