Anda di sini

Bakal jemaah haji dinasihat ambil langkah berjaga-jaga cegah Ebola

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam menasihatkan rakyat Malaysia yang akan menunaikan ibadah haji tahun ini, agar mengambil langkah berjaga-jaga berikutan laporan mengenai kematian seorang lelaki di Arab Saudi yang disyaki dijangkiti virus Ebola.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata bakal jemaah seharusnya mengelak daripada sebarang sentuhan badan, terutama dengan jemaah yang didapati sakit atau menunjukkan tanda-tanda dijangkiti virus berkenaan.

“Jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian, anda perlu mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai sarung tangan, gaun dan topeng muka.

“Banyak kes penyakit ini tersebar di Afrika Barat adalah kerana mereka tidak berupaya untuk mematuhi prinsip kesihatan ini,” katanya kepada media selepas mewakili Putera MIC menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada pesakit di Wad Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur di sini semalam.

Menurut laman web Kementerian Kesihatan Kerajaan Arab Saudi lelaki berkenaan

meninggal dunia kelmarin, selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi lewat Isnin apabila beliau menunjukkan simptom dijangkiti virus demam berdarah selepas mengadakan lawatan kerja ke Sierra Leone.

Sierra Leone dan Liberia merupakan negara yang paling teruk terjejas oleh penyakit itu.

Punca jangkitan masih disiasat dan pihak berkuasa kini sedang memantau mereka yang bersentuh dengan mangsa dan dikesan mempunyai simptom berkaitan penyakit virus demam berdarah, menurut laman web itu.

Kementerian Kesihatan Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengumumkan keputusan untuk menghalang jemaah haji dari negara yang terjejas virus Ebola seperti Liberia, Sierra Leone dan Guinea daripada melakukan umrah atau haji pada tahun ini.

Terdahulu dalam satu majlis berasingan, Dr Subramaniam meminta rakyat di negara ini agar tidak bimbang dengan penularan Ebola memandangkan kerajaan sentiasa memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.

“Risiko penularan Ebola di negara ini masih rendah berbanding kes serius lain seperti denggi. Namun kita (kerajaan) memang ada sistem bagi mengawal penularan tersebut dan mengelakkan rakyat daripada dijangkiti,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kesihatan, Sains dan Teknologi, Alumni Global Manipal kali pertama di sini.

Katanya, kerajaan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga memantau penularan virus tersebut, malah pintu masuk utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, dilengkapi mekanisme imbasan suhu bagi mengimbas suhu badan penumpang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sehingga 4 Ogos, sejumlah 1,603 kes termasuk 887 kematian dilaporkan dari empat buah negara Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria. — Bernama

Advertisement