Anda di sini

Atlet wushu PWM sedia tempur

Advertisement

MIRI: Persatuan Wushu Miri (PWM) bakal menghantar kontinjen mereka dalam Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Antarabangsa Borneo Keenam di Sibu yang berlangsung pada 15 hingga 17 Ogos ini di Dewan Suarah Sibu.

Jurulatih kumpulan berkenaan Tiong Ching Chiong memberitahu pihaknya bakal menghantar 15 ahli persatuan untuk berentap pada kejohanan kali ini.

“Mereka akan berentap dalam kejohanan yang bakal menampilkan 220 atlet dari Indonesia, Brunei dan Semenanjung Malaysia,” katanya kepada Utusan Borneo.

Beliau ditemui ketika majlis penyampaiana Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) oleh Menteri Muda, Sukan Datuk Lee Kim Shin bertempat di Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senadin semalam.

Menurut Tiong, ini adalah kali kedua bagi pihaknya menyertai kejohanan antarabangsa seumpama.

Kejohanan merupakan anjuran bersama Persatuan Seni Mempertahankan Diri Sibu, Persatuan Chen Taijiquan Sarawak, Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina Sarawak Kuching dan Akademi Wushu Dong Bei Bei.

Turut menyokong penganjuran kejohanan adalah Persatuan Chen Taijiquan Malaysia serta Persekutuan Tarian Naga, Singa dan Wushu Sarawak.

“Kejohanan wushu berkenaan juga diadakan bersempena Festival Kebudayaan Borneo Ke-12,” jelasnya lagi.

Ia untuk mempromosikan seni kebudayaan serta seni mempertahankan diri Cina yang antara lain mempererat perhubungan sesama kumpulan wushu.

Sebanyak tujuh persatuan menerima MRP dalam majlis berkenaan termasuk PWM, Persatuan Taekwando Gabungan Sarawak, Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Jalan Bintang, Majlis Sukan Sekolah Menengah, Persatuan Shito-Ryu Karatedo Sarawak Malaysia, Kelab Badminton Piasau dan Persatuan Tang Soo Do Bahagian Miri.

 

Advertisement