Anda di sini

ASEAN sambut ulang tahun ke-47, hampiri matlamat serantau

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tatkala ASEAN menyambut ulang tahun ke-47 hari ini, usaha merealisasikan Komuniti Asean menjelang 2015 semakin hampir menjadi kenyataan.

Susulan Malaysia mengambil alih peranan sebagai pengerusi ASEAN tahun depan, Wisma Putra kini menumpukan pada strategi memupuk semangat “KeASEANan’ dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kami telah bercakap dengan pihak pemasaran, pengiklanan, kumpulan pemikir, badan bukan kerajaan bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka,” kata seorang pegawai Kementerian Luar kepada Bernama semalam.

Beliau berkata: “Kami perlu menjelaskan tentang ASEAN kepada orang ramai dan menjadikan subjek itu ‘seksi’ kepada mereka dan bukan sekadar subjek yang sudah basi.

“Kami mahu menonjolkan kisah-kisah kejayaan ASEAN seperti Dasar Langit Terbuka ASEAN (tiket penerbangan rendah dalam ASEAN) dan usaha dibuat ASEAN dalam bidang lain seperti Pendidikan, Wanita dan Kanak-kanak dan lain-lain, bukan hanya sekadar sisi politik ASEAN.”

Beliau berkata kementerian “sudah pasti tidak berpuas hati dengan tahap kesedaran rakyat Malaysia tentang ASEAN”, khususnya berhubung usahanya untuk menjadikan pertubuhan 10 anggota ini menjadi sebutan ramai menjelang 2015.

“Kami sedar kaji selidik dilakukan oleh Sekretariat ASEAN yang meletakkan kita di tangga tercorot dari segi kesedaran tentang ASEAN,” katanya.

Susulan hasil kaji selidik itu, kementerian telah memohon peruntukan daripada kerajaan untuk menjalankan aktiviti bagi memberi kesedaran tentang ASEAN, katanya.

Usaha untuk merealisasikan Komuniti ASEAN yang bermula sejak 2009, menyasarkan pemupukan Komuniti ASEAN menjelang 31 Dis tahun depan.

Komuniti ASEAN meliputi hampir 600 juta orang, berpaksikan tiga tonggak kerjasama — Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, Komuniti Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN.

Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand, keanggotaan ASEAN diperluaskan kepada Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam. — Bernama

Advertisement