Anda di sini

Waris mangsa nahas MH17 tidak putus asa tunggu ketibaan jenazah

Advertisement

KUCHING: Waris Allahyarhamah Ariza Ghazalee yang terlibat dalam nahas pesawat MH17 tidak pernah berputus asa menunggu ketibaan jenazah enam beranak itu di sini dari Amsterdam.

Malahan menurut kakak Ariza, Madzalina Ghazalee, 47, keluarganya akan terus menantikan kesemua jenazah termasuk suami Ariza dan empat anaknya yang turut terlibat dalam insiden itu.

“Apa yang mampu kami buat sekarang ialah menunggu berita daripada pihak yang bertanggungjawab menguruskan jenazah.

“Kami (keluarga) tidak dapat memberi sebarang ulasan mengenai perkembangan terkini kerana setakat hari ini (semalam), perkembangan masih sama dan kesemua jenazah masih berada di Amsterdam bagi tujuan pengecaman dan ujian DNA,” katanya ketika ditemui.

Jelas Madzalina, sementara menunggu perkembangan itu, dia dan ahli keluarganya tidak pernah putus berdoa agar segala perihal berkaitan pengurusan kesemua jenazah mangsa insiden itu berjalan lancar.

“Kami tidak mahu memberi sebarang tekanan kepada pihak yang mengendalikan perkara ini kerana kami faham ia bukanlah kerja yang mudah.

“Kami hanya berharap agar semua jenazah ahli keluarga kami yang terlibat dapat dikesan serta dihantar pulang mengikut prosedur yang sewajarnya,” tambahnya.

Selain itu Madzalina berharap orang ramai tidak memberi sebarang spekulasi serta komen negatif terhadap keluarganya berikutan perkara itu.

“Kadang-kadang, segelintir masyarakat bercakap seperti tidak memahami apa yang kami sedang hadapi dengan melemparkan tanggapan negatif mengatakan keluarga kami terlalu ‘demand’ dan tidak bersyukur dengan prosedur pengecaman dan penghantaran kesemua jenazah itu.

“Tidak salah untuk kami berharap agar jenazah ahli keluarga kami yang terlibat dihantar pulang dalam keadaan sempurna, namun pada masa sama, kami menerima dengan sepenuh hati serta reda dengan apa juga keadaan jenazah selepas mereka dihantar pulang untuk disemadikan kelak,” katanya.

Ariza yang berusia 46 tahun dan suaminya Tambi Jiee, 49 serta empat anak mereka iaitu Muhammad Afif, 19, Muhamad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15 dan Muhamad Afruz, 13 antara 298 penumpang yang terlibat dalam nahas pesawat MH17 yang sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Kumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine, berhampiran sempadan Rusia.

 

Advertisement