Anda di sini

Stesen minyak Shell agih 1,250 kotak air mineral di Parlimen Saratok

Advertisement

SARATOK: Sejumlah 1,250 kotak air mineral telah diagihkan kepada penduduk di Parlimen Saratok oleh beberapa stesen minyak Shell, semalam.

Usaha itu dilakukan atas tanggungjawab sosial, khususnya terhadap penduduk yang ditimpa musibah bencana alam yang tidak terduga seperti krisis air, kata pengerusi program, James Ting.

Katanya, bagi daerah Saratok pihaknya telah menghantar 670 kotak air mineral manakala kawasan Roban pula (250 kotak), Kampung Sessang (370 kotak) dan Kabong (330 kotak).

“Objektif utama kami menghulurkan bantuan ini adalah untuk meringankan beban penduduk berikutan krisis air yang telah melanda kawasan ini sejak beberapa minggu lalu.

“Sungguhpun situasi tersebut telah beransur pulih dan beberapa kawasan sudah mendapat semula bekalan air, namun terdapat beberapa tempat seperti di kawasan Kabong dan sekitarnya masih berhadapan krisis air dan belum pulih sepenuhnya.

“Maka kami telah sepakat untuk mengagihkan bantuan yang sepatutnya kepada pihak terbabit agar ia dapat digunakan bagi menampung aktiviti seharian seperti untuk diminum dan memasak,” jelas James ketika ditemui media sebaik selesai mengagihkan bantuan tersebut kepada penduduk di Saratok semalam.

Sebanyak 16 stesen minyak Shell terlibat dalam program itu iaitu Empire Sdn Bhd, Hock Kuong Petrol Station, Gorgeous Trading Sdn Bhd, Hock Hou Lung, Evertask Sdn Bhd, Chiang Chuan Petrol Station, Hoe Hup Service Station, Empire Nutri Sdn Bhd, Hock Choo Hoe Petrol Station, Service Aman, Syarikat Suria, Wong Yuk Siew Filling Station, Wong Yuk Siew Service Station, MKJ Supplier, Chop Lung Kai, Chen Yii Enterprise, Li Hua, Best Ply Sdn Bhd dan Wirajaya Enterprise.

Advertisement