Anda di sini

Polis Bantuan bukan anggota kelas kedua

Advertisement

SIMBOLIK: (Dari kiri) Ayub, Abang Johari dan Bujang menyemat beret anggota Polis Bantuan LAKMNS pada Majlis Penyampaian Sijil Kelulusan Polis Bantuan di Kuching, semalam.

Mereka sama seperti anggota polis biasa yang mengikuti latihan kepolisan, kata Ayub

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Polis Bantuan bukan anggota kelas kedua tetapi mereka sama seperti anggota polis biasa yang mengikuti latihan kepolisan, tegas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Wira Ayub Yaakob.

Beliau yang turut mengingatkan kepada umum berkata, mereka dilatih oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun yang berbeza adalah cuma gaji dan kebajikan mereka akan dibayar oleh agensi atau jabatan yang memohon untuk menggunakan khidmat mereka.

“Sebagai peringatan juga kepada kita bahawa mereka bukan dilatih seperti pengawal keselamatan atau bukan sebagai pegawal keselamatan tetapi mereka termasuk polis seperti kita (PDRM).

“Kita menubuhkan pasukan ini agar mereka dapat menjadi penghubung kepada masyarakat sebab itu kita amat menggalakkan penubuhan pasukan ini yang merupakan contoh terbaik kepada kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Kelulusan Polis Bantuan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) di sini, semalam.

Majlis berkenaan dihadiri Menteri Perumahan merangkap Timbalan Pengerusi LAKMNS Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Setiausaha Kehormat LAKMNS Tan Sri Datuk Amar Bujang Nor dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.

Ayub berkata di bawah kerjasama dengan LAKMNS pihaknya telah meluluskan 124 jawatan Polis Bantuan dan sedia meneruskan usaha sama sekiranya LAKMNS masih memerlukan lebih ramai pasukan berkenaan.

Beliau memberitahu, untuk Sarawak pasukan Polis Bantuan banyak yang telah diluluskan dan kebanyakannya adalah di ladang-ladang.

“Kerjasama dengan LAKMNS ini adalah pertama kali dilakukan bersama institusi masjid dan kita menggalakkan institusi masjid lain menjadikan LAKMNS sebagai contoh kerjasama bagi mencegah jenayah,” tegasnya.

Antara lain Ayub pada masa yang sama turut menggesa lebih ramai rakyat Sarawak menyertai pasukan Sukarelawan Simpanan Polis (PVR)  yang menyaksikan sebanyak 50,000 jawatan telah diluluskan dengan sasaran 10,000 jawatan setiap tahun.

“Bagi Sarawak kami mungkin mahu beberapa ribu setiap tahun untuk PVR bagi mewujudkan lebih banyak kehadiran polis dan dengan sukarelawan ini juga kita dapat memberi tumpuan di sekolah serta rumah agar masyarakat sentiasa rasa selamat,” katanya.

Beliau berkata pencegahan jenayah adalah satu keutamaan PDRM sejak dahulu hingga kini dan mereka sentiasa memastikan seluruh kawasan tempat kerja, tinggal dan di mana sahaja dalam keadaan selamat.

Sehubungan itu, adalah penting bagi untuk memperkasakan institusi kepolisan supaya orang ramai rasa lebih selamat.

Advertisement