Anda di sini

Pengagihan Tangki 1Malaysia bukti janji ditepati

Advertisement

Ia melegakan penduduk yang pasti risau jika kemarau berpanjangan dan tiada tempat simpanan air

Oleh Saleman Senin //

BETONG: Pengagihan Tangki 1Malaysia kepada penduduk Kampung Melayu Betong kelmarin menepati janji wakil rakyat Barisan Nsional (BN) pada lawatan Hari Raya Aidilfitri tempoh hari.

Proses pengagihan yang bermula kelmarin turut memberi kelegaan kepada penduduk kampung yang pastinya berasa risau sekiranya berlaku kemarau berpanjangan dan ketiadaan tempat simpanan air.

“Alhamdulillah, janji kerajaan ditepati dan kerisauan jika kemarau berpanjangan dan ketiadaan bekalan air mungkin dapat diatasi dengan adanya tangki ini.

“Inisiatif kerajaan membantu rakyat dengan pemberian tangki ini sedikit sebanyak meredakan kegusaran kami dan menganggap luahan kami selama ini diberi perhatian,” kata seorang penerima Tangki 1Malaysia di sini kelmarin.

“Ini menggambarkan kerajaan prihatin terhadap masalah yang membelenggu rakyat selama ini dan sentiasa memberi yang terbaik untuk mereka serta berusaha menyediakan kemudahan lengkap dan memuaskan hati rakyat.

“Lantaran itu sokongan yang tidak berbelah bahagi sentiasa kami berikan dalam kami mendukung kemajuan negara,” tambahnya.

Sebanyak 376 pintu rumah penduduk Kampung Melayu Betong merangkumi Kampung Masjid, Kampung Tengah, Kampung Hilir, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir dan Kampung Melayu Passa Betong menerima tangki tersebut sebagaimana yang dijanjikan.

Tangki yang diagihkan bermula dari Kampung Masjid Betong diteruskan hingga ke kampung sekitar apabila bekalan tiba dan mencukupi.

Sementara itu, masih terdapat anak kampung yang tidak berpuas hati dengan pembahagian tersebut yang hanya diperuntukkan kepada penduduk yang tinggal di kampung dan tidak bagi mereka menduduki kawasan perumahan berdekatan.

“Hakikatnya, kami agak terkilan dengan pengagihan yang diberikan kepada mereka yang tinggal di kampung. Bagaimana pula kami yang terpaksa menduduki perumahan,” ujarnya.

“Kami juga anak kampung tetapi terpaksa duduk di taman perumahan kerana ketiadaan tanah untuk membuat rumah di kampung,” kata Ismail meluahkan pendapatnya.

“Kami juga penduduk yang layak mengundi, cuma kami dilupakan apabila ada bantuan dan bila ada keinginan kami diperlukan,” rungutnya yang terpanggil untuk meluahkan perasaan.

Berikutan itu, beliau meminta pentadbiran kampung agar memohon apa juga bantuan yang layak untuk penduduk kampung dan dipohon untuk mereka sebagaimana sepatutnya di kampung.

Advertisement