KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara Pandelela Rinong merasa lebih bermotivasi dan berbangga dengan pencapian atlet junior negara seperti Nur Dhabitah Sabri.
“Saya berterima kasih kepada jurulatih saya kerana melakukan tugas terbaik di Glasgow sementara junior saya (Nur Dhabitah) turut meningkat…. Cheong Jun Hoong, dia kembali kepada prestasi asal, saya berhasrat untuk bertanding bersamanya.
“Bagi acara (terjun) berirama, saya rasa Leong Mun Yee dan saya mempunyai peluang menyertainya bersama.
Saya berasa bermotivasi kerana banyak cabaran perlu dilalui,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Kempen Sukan Asia Samsung di sini semalam.
Pandelela meraih pingat perak dalam acara 10m platform pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.
Beliau buat pertama kali bergandingan dengan Nur Dhabitah dalam acara 10m platform seirama di Glasgow dan mereka berjaya meraih pingat gangsa.
Mengenai kecederaan lutut yang dialaminya sebelum ke Sukan Komanwel, Pandelela berharap ia tidak mengganggu sesi latihannya untuk ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.
“Saya risau kalau buat latihan bagi papan anjal akan membuatkan kecederaan saya makin teruk.
Jadi kita akan tahu sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu ini sama ada kecederaan ini akan memberi kesan kepada saya atau tidak.
“Jika ia bertambah baik, saya boleh sertai acara papan anjal dengan baik.
Sekarang memang kecederaan tidak pulih sepenuhnya lagi tapi ia semakin baik dan jika semuanya berjalan lancar saya akan pergi buat latihan ke China dalam masa terdekat,” katanya. — Bernama