Anda di sini

Murid dakwa ditampar guru

Advertisement

DITAMPAR: Kelihatan mata sebelah kiri mangsa lebam dan merah selepas dipercayai ditampar seorang guru gara-gara tidak menyiapkan kerja sekolah.

MIRI: Gara-gara gagal menyiapkan kerja sekolah, seorang murid lelaki tahun lima di sebuah sekolah rendah di sini mengalami lebam dan merah di pipi serta mata sebelah kiri selepas dipercayai ditampar oleh seorang guru di sekolahnya.

Berikutan itu, mangsa, 11, tampil di Balai Polis Pusat Miri di sini pagi semalam sambil ditemani ibu saudaranya untuk membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Mangsa mendakwa, guru terbabit yang mengajar mata pelajaran Matematik bertindak menamparnya gara-gara dia tidak menyiapkan kerja rumah Bahasa Malaysia.

Sementara itu, menurut ibu saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nana, 41, kejadian itu disedari oleh ibu mangsa sebaik pulang dari tempat kerja sekitar jam 6.30 petang kelmarin.

“Sebaik tiba di rumah, ibu mangsa berasa hairan apabila ternampak mata (mangsa) merah dan berair.

Setelah ditanya beberapa kali, baharu mangsa memberitahu bahawa dia telah ditampar guru Matematik kerana tidak menyiapkan kerja rumah Bahasa Malaysia.

“Kalau betul dia salah, kenapa harus ditampar? Kenapa tidak dirotan sahaja?” katanya ketika ditemui di Balai Polis Pusat Miri semalam.

Sehubungan itu, dia telah menghantar mangsa ke Hospital Miri pagi semalam untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

 

Advertisement