Anda di sini

Lebih 300 kes demam denggi dilapor dalam tempoh 24 jam

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 325 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 24 jam sejak kelmarin.

Menurut laporan dalam laman sesawang ‘Dengue’ kendalian Kementerian Kesihatan (KKM), Kelantan merekodkan kes paling tinggi iaitu 136 kes diikuti Selangor dengan 94 kes.

Sebanyak 124 kawasan di seluruh negara termasuk kawasan dalam daerah Petaling, Gombak, Hulu Langat, Seremban, Kota Baharu, Tumpat dan Sibu disenaraikan sebagai lokaliti aktif denggi terkini.

Kawasan komersial yang paling tinggi mencatatkan kes denggi ialah daerah Petaling, Selangor.

Kawasan berkenaan mencatatkan 111 kes secara kumulatif bagi tempoh Januari sehingga Julai lepas.

Bilangan kes denggi di seluruh negara bagi tempoh tujuh bulan pertama sejak Januari tahun ini adalah sebanyak 54,976 kes dan jumlah ini meningkat berbanding 15,400 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Bagi tempoh yang sama, sebanyak 101 kematian direkodkan akibat kes denggi berbanding 31 kematian bagi tahun lepas.

Orang ramai boleh merujuk portal http://idengue.remotesensing.gov.my untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai denggi. — Bernama

Advertisement