Anda di sini

Komuniti Islam di Belanda bantu urus jenazah mangsa MH17 warga Malaysia

Advertisement

PUTRAJAYA: Komuniti Islam tempatan di Belanda bersedia memberikan bantuan kepada wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk pengurusan pengendalian jenazah rakyat Malaysia yang terlibat dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata persediaan untuk menguruskan jenazah oleh enam imam daripada JAKIM juga berjalan lancar dengan bantuan serta hubungan baik dengan komuniti tempatan itu.

“Persiapan pengurusan jenazah di sana (Belanda) serta di sini berjalan lancar. Setibanya di sini (Malaysia) pengurusan jenazah akan dilakukan oleh saya serta JAKIM bagi jenazah Islam manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Joseph Kurup bagi jenazah bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani MoU Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di sini semalam.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun sehingga kini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau meminta semua pemilik sekolah agama rakyat (SAR) supaya berdaftar di bawah SABK supaya mendapat manfaat seperti kemudahan pinjaman buku, prasarana serta pendedahan latihan perguruan.

“Pendaftaran dengan SABK tidak menjadikan pihak lembaga sekolah tidak mempunyai kuasa terhadap sekolah mereka, malah sekolah yang didaftarkan adalah kekal di bawah bidang kuasa mereka,” katanya sambil menambah masih banyak SAR yang tidak berdaftar dengan SABK.

Beliau berkata dengan mendaftar di bawah SABK, pelajar SAR bukan saja berjaya dalam bidang agama semata-mata, malah dilengkapi dengan akademik. — Bernama

Advertisement