Anda di sini

Keluarga pembantu juruterbang MH17 tabah tunggu jenazah dibawa pulang

Advertisement

KOTA BAHARU: Seorang datuk kepada pembantu juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, berterima kasih kepada kerajaan dan syarikat penerbangan tersebut atas usaha yang dilakukan untuk membawa pulang jenazah.

Daud Abdul Kadir, 80, datuk kepada Ahmad Hakimi Hanapi, 29, berkata bukan soal nilai pampasan yang bakal diterima mereka sebaliknya mahu melihat jenazah cucunya itu dapat dibawa pulang dan disemadikan di sini.

“Keluarga kami tidak kisah dengan nilai pampasan tersebut dan yang penting menunggu kepulangan jenazah meskipun dikhabarkan urusan penghantaran pulang mengambil masa lebih lama.

“Walaupun dikhabarkan urusan penghantaran jenazah agak lama dan paling cepat dalam tempoh lebih kurang dua minggu, namun kami lega kerana maklumat awal itu jasad Hakimi ditemui walaupun masih belum dapat keputusan muktamad,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Melor di sini, semalam.

Sementara itu, nenek Ahmad Hakimi, Zaleha Bawal Khan, 73, berkata beliau mengharapkan jenazah ditemui dalam keadaan baik.

“Setiap kali solat kami tidak pernah lupa berdoa misi kerajaan membawa pulang mayat kesemua mangsa termasuk cucu berjaya,” katanya.

Katanya, Aidilfitri lalu disambut dalam suasana sederhana kerana masih bersedih dengan kejadian yang menimpa Ahmad Hakimi, apatah lagi teringatkan menu kegemaran Hakimi pada Aidilfitri yang menggemari nasi dagang dan nasi himpit buatannya.

Penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal, dipercayai ditembak jatuh. — Bernama

Advertisement