Anda di sini

Jerebu disebabkan pembakaran terbuka di Sarawak, Kalimantan Barat

Advertisement

KUCHING: Jerebu yang melanda Sarawak sejak pertengahan Julai lalu disebabkan aktiviti-aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan di dalam negeri dan negara jiran, Kalimantan Barat, Indonesia kata Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Peter Sawal.

Menurutnya jerebu yang melanda utara Sarawak membabitkan Sibu, Miri dan Bintulu berpunca daripada aktiviti-aktiviti pembakaran terbuka dilakukan sama ada oleh individu atau syarikat perladangan tempatan.

Sementara bagi kawasan selatan Sarawak (Kuching, Samarahan dan Sri Aman) jelasnya, penyumbang utama jerebu di situ adalah kegiatan pembakaran terbuka oleh syarikat perladangan di negara jiran, iaitu Kalimantan Barat, Indonesia.

“Semalam (Selasa) kami mengesan banyak tompok panas atau kebakaran di sebelah sempadan negara dengan Kalimantan sedangkan hanya terdapat tiga tompok panas di Sarawak.

“Jadi apa yang boleh dikatakan, jerebu yang melanda Sarawak ketika ini disebabkan kedua-dua faktor,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau menambah, jerebu yang melanda selatan Sarawak dibawa dari Kalimantan oleh tiupan angin dari selatan ke utara.

Bagaimanapun katanya keadaan jerebu di seluruh Sarawak semalam bertambah baik dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat jam 3 petang memperlihat-kan tiga kawasan mencatat bacaan sederhana (ILP Miri, Miri dan Sri Aman) manakala tujuh lagi kawasan adalah baik.

Keadaan itu kata Peter, banyak dibantu hujan yang turun di ke-banyakan tempat di Sarawak  namun percaya jerebu akan kembali melanda sekiranya hujan tidak turun untuk tempoh tiga hingga empat hari memandang cuaca panas dan kering diramal berlanjutan sehingga penghujung September depan.

“Namun kami tetap memantau keadaan dan melakukan kerja-kerja lapangan kerana masih terdapat aktiviti pembakaran terbuka dikesan namun dalam skala agak kecil.

“Pada masa sama NREB menangguhkan kelulusan permohonan-permohonan baharu lesen pembakaran terbuka dan mengarahkan syarikat yang telah diberikan lesen menangguhkan kerja-kerja pembakaran sehingga keadaan benar-benar pulih,” ujarnya.

Beliau turut mendedahkan, ketika ini NREB sedang menyiapkan beberapa kertas siasatan berhubung kegiatan pembakaran terbuka dan tindakan sewajarnya hanya dapat ditentukan berdasarkan hasil siatan tersebut.

“Kami hanya boleh mengeluarkan kompaun, denda atau amaran kepada individu atau syarikat berdasarkan bukti yang dikumpul.

“Buat masa ini belum ada syarikat atau individu dikompaun, didenda atau diberi amaran,” ujarnya.

Advertisement