Anda di sini

Golongan ibu tonggak kebahagiaan keluarga, berperanan didik anak

Advertisement

KUCHING: Golongan ibu menjadi tonggak kebahagiaan keluarga selain memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak.

Justeru, golongan tersebut harus dipersiapkan dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan yang berkaitan dengan pembangunan dan pendidikan anak-anak.

Sejajar dengan usaha itu, Tabung Ekonomi Gagasan Anak (Bumiputera) Sarawak (TEGAS) menganjur Seminar Wanita TEGAS selama satu hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang pada 16 Ogos (Sabtu) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata, seminar itu mempelawa seluruh kaum ibu di negeri ini khususnya menyertainya sebagai kesedaran kepada golongan itu mengetahui peluang pekerjaan yang terbuka kepada anak-anak mereka.

“Dengan penganjuran seminar seumpama ini, ia diharap dapat menjadi medium maklumat kepada para ibu di luar sana mengetahui pendidikan teknikal dan peluang pekerjaan yang ada di negeri ini sebelum ia disampaikan kepada anak-anak.

“Selain itu, kita harus sedar bahawa tidak semua anak kita menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik, justeru, seminar ini juga berupaya memberi pengetahuan tentang pilihan teknikal yang terbuka kepada mereka selepas tamat sekolah,” katanya.

Peranan ibu amat penting dalam kehidupan anak-anak terutama sebagai panduan untuk membuat keputusan merangkumi pilihan kerjaya, ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Seminar Wanita TEGAS di BCCK, semalam.

“Kita semua sedia maklum, masa depan anak-anak amat dipengaruhi oleh peranan seseorang ibu itu.

“Kami yakin dan percaya seminar ini menjadi wadah yang sesuai untuk memberi pengetahuan kepada golongan ibu mengetahui pelbagai pilihan bidang yang sesuai untuk anak-anak mereka terutama yang berkaitan dengan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” jelasnya.

Seminar yang turut mendapat kerjasama Unit Pembangunan Tenaga Kerja Jabatan Ketua Menteri dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) itu menyasarkan penyertaan seramai 4,000 peserta dari Kuching, Kota Samarahan, Serian, Lundu dan Sri Aman.

Ia terbuka kepada ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu tunggal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), guru besar, pengetua serta mahasiswi institusi pengajian tinggi (IPT).

Tambah Len yang juga Menteri Muda Alam Sekitar, seminar itu dijangka akan dirasmikan isteri Ketua Menteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu selain turut akan dihadiri Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

“Pada seminar itu nanti, dua kertas kerja akan dibentangkan iaitu ‘Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional Pemacu Ekonomi Berpendapatan Tinggi di Sarawak’ dan ‘Hala Tuju Pendidikan dan Kerjaya Kanak-Kanak yang Mempunyai Masalah Pembelajaran’.

“Kertas kerja itu masing-masing akan dibentangkan oleh Profesor Madya Dr Fatimah Bujang daripada UiTM Sarawak dan Dr Hasnah Toran daripada Makmal Autisme Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya.

Bagi memeriahkan lagi sambutan seminar itu, empat aktiviti refleksi turut disusun atur yang menyentuh pelbagai isu daripada pengalaman dalam bidang pendidikan, kerjaya, keusahawanan serta pelaburan.

 

Advertisement