Anda di sini

Dua maut disyaki dibunuh rakan serumah

Advertisement

SENJATA: Omar (dua kiri) menunjukkan senjata yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk membunuh mangsa terbabit pada sidang media di IPD Mukah semalam.

Sebilah parang dirampas dalam insiden babitkan pekerja Indonesia di ladang sawit

Oleh Nicklos Louis Kaderi //

 MUKAH: Dua warganegara Indonesia mati dipercayai dibunuh oleh rakan serumah mereka pada jam 2 pagi kelmarin di sebuah rumah di kawasan ladang sawit di sini.

Ketua Polis Daerah (KPD) Mukah DSP Omar Bakhtiar Yacoob berkata, Balai Polis Mukah menerima laporan kes tersebut daripada Balai Polis Stapang sekitar jam 2.30 pagi dan mengesahkan bahawa pihak ladang telah membuat laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, pegawai polis Mukah bersama ang­gota lain bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat tersebut.

Katanya, setibanya pihak polis di tempat kejadian, mereka mendapati kedua-dua mangsa berlumuran darah dan sudah meninggal dunia, manakala suspek dipercayai melarikan diri.

Pada hari sama jam 2 petang, polis berjaya menjejaki suspek dan ditahan di sebuah rumah panjang di sini, katanya.

“Pihak polis membuat pengesanan pada hari kejadian dan seorang suspek berumur 25 tahun ditahan di sebuah rumah panjang yang terletak 22 kilom­eter dari tempat kejadian.

“Selain itu, pihak polis menjumpai sebilah parang yang disyaki digunakan un­tuk membunuh dua mangsa tersebut,” katanya.

Sementara itu, Omar turut mengesahkan pada waktu kejadian semua orang sedang tidur dan tiada sebarang aktiviti meminum minuman keras dikesan.

Dua mangsa terbabit iaitu Stipenus Dara, 24, dan Ropi­nus Muda, 34, telah dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat.

Suspek pula direman tu­juh hari bermula semalam hingga 12 Ogos yang akan disiasat di bawah 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kejadian tersebut merupakan kes bunuh pertama dilaporkan di Mukah tahun ini.

Advertisement