Anda di sini

Dinihari berdarah

Advertisement

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Angkara mabuk, dua pelajar jurusan perubatan warganegara Britain dipercayai dibunuh sekumpulan lelaki warga tempatan yang berselisih faham dengan mereka di Jalan Abell, di sini awal pagi semalam.

Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dr Chai Khin Chung berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 22 dan 23 tahun terdahulu singgah di sebuah kafe di Padungan selepas berhibur di sebuah kelab malam di Travilion, sekitar jam 4 pagi.

Difahamkan, berlaku pertengkaran antara kedua-dua mangsa menyebabkan sekumpulan empat lelaki yang turut berada di kafe tersebut cuba meleraikan mereka, namun sebaliknya mencetuskan pergaduhan di antara mereka.

“Mulanya, kedua-dua mangsa yang mabuk itu bertengkar sesama sendiri se­hingga mengganggu pengun­jung lain di kafe berkenaan sebelum suspek dikatakan menegur mangsa.

SIASAT: Anggota forensik dari IPK Sarawak sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian.

“Teguran tersebut bagaim­anapun membuatkan mangsa marah, seterusnya mencetuskan pergaduhan di antara mereka sebelum kedua-dua mangsa beredar untuk pulang ke tempat penginapan mereka.

“Kumpulan suspek berk­enaan masih tidak berpuas hati dan mengekori mangsa sehingga kira-kira 80 meter dari kafe berkenaan, di mana seorang daripada suspek ber­tindak menikam kedua-dua mangsa dengan objek tajam menyebabkan kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kon­tinjen (IPK) Sarawak di sini, petang semalam.

Chai berkata, kumpulan suspek terbabit yang juga mabuk selepas berhibur di sebuah kelab malam di Cen­tral Park di sini kemudiannya melarikan diri dari tempat ke­jadian dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva.

“Hasil siasatan di tempat kejadian kemudian berjaya menangkap tiga daripada suspek dalam tempoh tiga jam selepas kejadian, yang mana turut merampas kes­emua bahan bukti termasuk kereta Viva serta senjata yang digunakan.

“Ketiga-tiga suspek men­gaku terlibat dalam perbunu­han tersebut dan mereka akan direman selama tujuh hari serta disiasat di bawah Sek­syen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Tiga suspek terbabit ialah seorang mekanik, 29, yang ditahan di rumahnya di Jalan Green, seorang penjual ikan berusia 23 tahun serta seorang lagi berusia 19 tahun masing-masing ditahan di Kampung Gersik dan Kampung Pulo.

Sementara itu, menurut Timbalan Ketua Polis Dae­rah Kuching Superintenden Fauzilan Abdul Aziz, suspek keempat yang berusia 32 ta­hun berjaya ditahan di Taman Kenyalang di sini sekitar jam 4.45 petang.

“Dua daripada suspek ter­masuk suspek utama memiliki rekod jenayah lampau iaitu terlibat dengan kes dadah dan samun berkumpulan,” katanya.

Sementara itu, wakil Kon­sulat Britain Bernard Long memberitahu kedua-dua mangsa bersama lima lagi rakan senegara mereka berada di negeri ini sejak Jun lepas kerana mengikuti latihan amali di sebuah hospital tem­patan di sini.

“Mereka merupakan pela­jar dalam jurusan peruba­tan di sebuah universiti di United Kingdom dan berada di sini sejak Jun lalu kerana mengikuti latihan amali di se­buah hospital di sini bersama lima lagi rakan mereka.

“Pihak kita telah meng­hubungi keluarga kedua-dua mangsa untuk memaklum­kan mengenai kejadian ini,” katanya.

Advertisement