Anda di sini

Waris mangsa MH17 diurus secara adil: Fatimah

Advertisement

Oleh Jessica Jawing //

Beliau nafi berlaku berat sebelah dalam urus waris mangsa penerbangan MH17 dari negeri ini

KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah menafikan berlakunya berat sebelah dalam menguruskan waris mangsa penerbangan MH17 dari negeri ini.

Misalnya menurut beliau, kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi tumpuan sama rata dalam kedua-dua kes iaitu keluarga atau waris mangsa di Kuching serta keluarga di Bintulu.

“Ia tidak berlaku kepada satu kes atau di Kuching sahaja, tetapi kami khasnya daripada JKM telah turun padang mengenal pasti waris mangsa termasuk di Bintulu.

“Saya mahu memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tumpuan kami adalah sama rata, malahan saya telah mengarahkan pegawai JKM di Bintulu mengendalikan siasatan di kalangan waris mangsa,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau memberitahu, penolong pengarah JKM Bintulu telah turun padang bagi mengenal pasti jenis bantuan yang diperlukan waris keluarga Meling Mula, iaitu isterinya Simbut Kedit, 39, serta tiga anaknya.

Katanya, antara perkara yang diambil kira adalah jenis bantuan yang diperlukan oleh waris mangsa sama ada dari segi pendapatan, kewangan atau persekolahan anak-anak mangsa.

JKM sebelum ini telah berjumpa waris keluarga itu di flat tempat mereka tinggal, bagaimanapun masih memerlukan lebih banyak maklumat kerana sekarang ini isteri mangsa masih berada di Putrajaya, kata Fatimah.

“Sejurus sahaja dia balik nanti kami akan terus menguruskan lagi kerana setakat hari itu kami hanya mendapat maklumat asas sahaja,” tegasnya.

Fatimah berkata, JKM akan berusaha membantu kedua-dua waris mangsa (Bintulu dan Kuching) dengan mengikut garis panduan sedia ada.

“Malahan perkara ini telah dinyatakan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri di mana kabinet negeri akan membincangkan perkara ini.

“Dalam hal ini nanti, JKM akan membuat laporan yang akan diputuskan oleh kabinet untuk menentukan jenis bantuan seterusnya yang diperlukan waris mangsa,” kata beliau.

Meling merupakan antara 298 penumpang yang terlibat dalam nahas pesawat MH17 yang sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Kumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine, berhampiran sempadan Rusia.

Selain Meling antara sekeluarga yang terlibat dan berasal dari Kuching ialah Tambie Jiee, 49 serta isterinya Ariza Ghazalee, 46, dan empat anak mereka iaitu Muhammad Afif, 19, Muhamad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhamad Afruz, 13.

Advertisement