Anda di sini

U-Customs beroperasi 1 Jan 2016

Advertisement

Oleh Yap Siong Han //

Kemudahan kepada pedagang dalam urusan berkaitan

KHAZALI (kiri) menjelaskan sesuatu kepada pemberita.

KOTA KINABALU: Projek U-Customs yang melibatkan 116 entiti agensi kerajaan yang terdiri daripada Agensi Kerajaan Lain (OGA) dan Agensi Pengeluar Permit (PIA) di seluruh negara akan beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2016.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, projek itu dijangka berlangsung selama 24 bulan bermula September 2013 dan dijangka akan siap sepenuhnya untuk beroperasi pada tarikh berkenaan.

“Sistem U-Custom akan menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) yang sedia ada dan diperkenalkan sejak 20 tahun lalu, dan negara kini maju dalam bidang perdagangan antarangsa.

“Oleh itu sudah tiba masanya untuk menggunakan satu sistem yang benar-benar dapat membantu kastam dalam urusan perdagangan eksport dan import dengan penuh kesempurnaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen kesedaran projek U-Customs.

Beliau berkata, sistem baru itu akan memberikan kemudahan kepada para pedagang dalam urusan berkaitan.

Katanya, projek itu juga adalah salah satu projek terbesar yang dilaksanakan selain projek MY GST yang sudah siap dibina dan akan digunakan pada tahun hadapan.

Terlebih dahulu dalam ucapanya, Khazali berkata kempen yang diadakan itu adalah bagi menurunkan mandat mendapatkan kelulusan dan persetujuan pihak agensi dan pengendali pelabuhan di Sabah bekerjasama serta berintegrasi dengan sistem U-Customs apabila ia beroperasi nanti.

Katanya, kerjasama yang kuat adalah faktor penentu kejayaan pembangunan sistem U-Customs apabila dilaksanakan nanti.

“Usahasama yang terhasil dari kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan pihak vendor iaitu Brinfo Sdn Bhd dan pihak Project Management Office (PMO) iaitu KPMG Consulting Sdn Bhd adalah tiga pemain utama yang dalam pembangunan projek ini,” katanya.

Advertisement