Anda di sini

Tonik dari Indonesia

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Sarawak catat dua kemenangan, sekali seri pada Siri Jelajah Indonesia bulan lalu

KUCHING: Mencatat dua kemenangan dan sekali seri pada perlawanan bola sepak persahabatan Siri Jelajah Indonesia pada bulan lalu memberi tonik buat Sarawak menjelang kempen Piala Malaysia 2014 yang bermula pada 13 Ogos ini.

Ini petanda positif buat skuad bimbingan Robert Alberts lebih-lebih lagi dalam misi mereka untuk memburu kejuaraan sulung pada kempen Piala Malaysia kali ini.

Sarawak mencatat kemenangan ke atas Pelita dengan 3-1, membenam Persija 4-0 dan seri 4-4 dengan VILLA 2000 pada siri perlawanan persahabatan di Indonesia.

“Ini petanda positif buat skuad dan saya gembira dengan keputusan yang kami perolehi,” kata Alberts di sini semalam.

Menurutnya, prestasi semua pemain juga semakin baik dan paling penting mereka menunjukkan keyakinan yang cukup tinggi biarpun sekadar perlawanan ujian.

Alberts bagaimanapun ber – harap anakanak buahnya tidak terlalu yakin dengan menggunakan keputusan itu sebagai kayu pengukur peluang mereka pada kempen Piala Malaysia yang bermula minggu hadapan.

Malah, beliau menjangka saingan kali ini akan bertambah sengit dengan setiap pasukan dilihat berlumba-lumba memantapkan persediaan mereka untuk bersaing bagi memburu kemenangan.

“Peluang setiap pasukan terbuka dan sama rata. Hanya mereka yang berjaya mengekalkan momentum kemenangan dan permainan yang konsisten mampu pergi dengan lebih jauh,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Alberts berharap dua ayam tambatannya iaitu Muamer Salibasic dan Hassan Mohamed dapat sembuh dalam tempoh terdekat bagi membantu skuad Ngap Sayot.

Beliau mengakui ketiadaan kedua-dua pemain import itu bakal menggugat peluang Sarawak kerana mereka memerlukan jentera serangan yang benar-benar mantap untuk mencerahkan peluang pada saingan kali ini.

Muamer dan Hassan sedang menjalani rawatan dan nasib mereka akan ditentukan dalam minggu ini.

Sarawak diundi dalam Kumpulan B bersama Terengganu, Perak dan Kedah.

Semi finalis Piala Malaysia 2013 itu akan memulakan pusingan pertama di laman sendiri menentang Terengganu pada 14 Ogos (Khamis) ini.

Advertisement