Anda di sini

Tiada nama baharu untuk calon MB Selangor

Advertisement

Parti-parti dalam Pakatan Rakyat boleh mencadangkan nama calon mereka: Guan Eng

GEORGE TOWN: DAP belum menerima sebarang nama lain untuk calon jawatan menteri besar Selangor, selain Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dicalonkan PKR.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti-parti dalam Pakatan Rakyat boleh mencadangkan nama calon mereka, tetapi hendaklah mengisytiharkan melalui presiden masing-masing bahawa mereka tidak menentang wanita memegang jawatan menteri besar atau ketua menteri.

“Kalau mana-mana pihak nak buat pencalonan nama lain, terpulang kepada mereka tertakluk kepada syarat yang saya pernah gariskan sebelum ini iaitu parti mesti membuat pengisytiharan menerusi presiden masing-masing bahawa parti tidak menentang mana-mana wanita untuk memegang jawatan menteri besar, ketua menteri di negara Malaysia,” katanya pada sidang akhbar, di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar berbahasa Cina bahawa pemimpin PAS menamakan Anggota Dewan Undangan Negeri Ijok Dr Idris Ahmad sebagai calon kompromi untuk mengakhiri krisis calon menteri besar Selangor.

Akhbar itu turut menyebut bahawa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mempunyai bantahan jika Dr Idris dicalonkan untuk mengganti-kan beliau.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata malah dalam perlembagaan negara tidak menyatakan bahawa wanita tidak boleh menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri serta dengan ketara tidak membenarkan sebarang diskriminasi berdasarkan jantina.

“Kalau tidak boleh ada diskriminasi jantina maka tidak ada sebab seorang wanita tidak boleh pegang jawatan menteri besar, ketua menteri. Jika nak bincang mana-mana calon atau nak bicara mana-mana calon sama ada layak atau tidak, sebelum itu mesti buat pengisytiharan menyokong mana-mana wanita pegang jawatan (menteri besar, ketua menteri).

“Kalau tidak mahu membuat pengisytiharan sebegini menunjukkan masih ketinggalan zaman dengan idea-idea kolot dan feudal bahawa wanita tidak boleh menjadi pemimpin. Kalau boleh jadi doktor kenapa tidak boleh jadi menteri besar,” katanya.

Beliau berkata yang penting ialah tidak ada diskriminasi terhadap wanita dan DAP tidak menentang pencalonan wanita sebagai menteri besar.

Baru-baru ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat pada 20 Julai lepas menerima cadangan untuk menggantikan Abdul Khalid dan mencalonkan Dr Wan Azizah, yang juga presiden PKR, untuk mengisi jawatan itu.

Bagaimanapun cadangan itu tidak mendapat soko-ngan ramai pemimpin PAS dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyuarakan soko-ngan mereka terhadap Abdul Khalid dengan berkata Abdul Khalid perlu terus menyandang jawatan menteri besar Selangor hingga berakhirnya penggal ini. — Bernama

Advertisement