Anda di sini

Seorang maut, tiga cedera dalam kemalangan

Oleh Yusop Teppo //

Beginilah keadaan Toyota Vigo yang terbabit dalam kemalangan awal pagi kelmarin.

BELURAN: Seorang pemandu kenderaan jenis Toyota Vigo maut manakala tiga daripada enam penumpangnya mengalami cedera setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 48, Jalan Beluran-Telupid, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintenden Sivananthan A/L Velautham berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Diong Mohd, 58, manakala tiga yang cedera adalah Musa Yasin, 62, (penumpang depan, patah bahu kiri) serta Nazirah Jarib, 29, dan Norainah Diong, 26, kedua-duanya penumpang belakang yang mengalami cedera belakang.

Sementara itu katanya, tiga lagi penumpang dikenali sebagai Zulhairi Jarib, 26, dan dua kanak-kanak lelaki masing-masing berumur dua dan satu tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sivananthan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi kelmarin, Toyota Vigo terbabit dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Kota Kinabalu.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kenderaan terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan jatuh ke bawah gaung, dan terbalik serta merempuh pokok kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata, impak kejadian itu mengakibatkan pemandu kenderaan terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang lain dihantar ke Hospital Beluran oleh kereta peronda dan dua penumpang wanita dihantar oleh ambulans.

Pasukan bomba juga berada di tempat kejadian untuk membantu membawa mangsa ke atas jalan, katanya.

Menurut Sivananthan, sampel darah mangsa telah diambil dan siasatan masih diteruskan.