Anda di sini

SDNU akan bentuk jawatankuasa bangunkan tanah di Siol Kandis

Advertisement

KUCHING: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) akan membentuk satu jawatankuasa bagi membangunkan tanah seluas lima ekar di kawasan Siol Kandis, Petra Jaya di sini.

Menurut Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom, jawatankuasa yang akan turut dianggotai SDNU Cawangan Siol Kandis itu akan membincangkan pelan pembangunan terbaik dalam memastikan tanah milik kesatuan itu dimanfaatkan sebaik mungkin demi kebaikan bersama.

“Anggota-anggota jawatankuasa ini dialu-alukan untuk menyumbang buah fikiran bagi pembangunan tanah SDNU ini, bukan sahaja bagi kesejahteraan SDNU malah penduduk di kawasan Siol Kandis juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Balai Raya SDNU sempena lawatannya ke Kampung Siol Kandis, Petra Jaya di sini, semalam.

Hadir sama, Penghulu Kampung Siol Kandis Phillip Entawan, Naib Presiden I SDNU Anthony Banyan, Setiausaha Agung SDNU Kilat Briak dan Pengerusi SDNU Cawangan Siol Pani Igoh.

Mawan yang juga presiden SDNU berkata, pihaknya juga telah membincangkan beberapa pelan pembangunan namun ia terpulang kepada jawatankuasa itu untuk meluluskannya.

Menurutnya, ibu pejabat SDNU akan berusaha memohon peruntukan daripada kerajaan negeri untuk pelaksanaan projek itu kelak apabila cadangan itu dimuktamadkan serta dipersetujui semua.

Projek itu apabila siap kelak katanya, akan dibuka untuk disewa dan kutipan sewa itu akan turut memberi manfaat kepada SDNU Cawangan Siol Kandis.

“Jika ada sebarang bantahan, anda perlu salurkan pendapat itu kepada jawatankuasa yang akan ditubuhkan.

“Sekiranya persefahaman telah dicapai, maka kita akan memohon bantuan kepada kerajaan. Bagaimanapun ia tertakluk kepada pelan induk kerajaan,” katanya.

Antara cadangan yang dibentangkan dalam perjumpaan itu adalah pusat komersial yang merangkumi pusat latihan, asrama, restoran, Club House lengkap dengan kolam renang, gim dan gelanggang tenis.

Sementara itu pada 12 Jun lalu, Anthony yang ditemui pemberita selepas kesatuan itu melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem di pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia memberitahu, SDNU merancang menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perumahan untuk membangunkan tanah tersebut.

SDNU, dalam rangka cadangannya akan menyediakan tapak manakala Kementeriaan Perumahan menyediakan pelan pembangunan katanya sambil  menambah, idea asal projek pembangunan tersebut ialah membina sebuah kondominium atau pangsapuri di atas tanah milik SDNU itu.

Dalam lawatannya itu, Mawan turut memperuntukkan geran sebanyak RM30,000 kepada SDNU Siol Kandis.

Advertisement