Anda di sini

Pihak berkuasa perlu ambil langkah, perancangan awal hadapi El Nino, kata Voon

Advertisement

KUCHING: Naib Presiden Wanita Kebangsaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Voon Shiak Ni menggesa pihak berkuasa mengambil langkah dan perancangan awal dalam menghadapi fenomena El Nino.

“Seperti yang kita semua tahu, kita akan berhadapan dengan El Nino sehingga Januari tahun depan di mana diramalkan akan menyebabkan kemarau dan pengeringan sungai serta kawasan tadahan air.

“Haba terik dan cuaca berjerebu adalah dijangka membawa kepada banyak kesan buruk seperti kenaikan dalam pesakit asma, batuk dan selesema, apatah lagi kemarau yang menjejaskan beribu-ribu orang di seluruh negeri,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat PKR Stampin di sini, semalam.

Voon turut menggesa pihak berkenaan menyahut seruan ibu bapa di seluruh negeri untuk menyediakan topeng muka di semua sekolah bagi berhadapan dengan jerebu.

Selain itu, beliau turut menggalakkan pihak berwajib sentiasa memberi perkembangan terkini kepada orang awam mengenai Indeks Pencemaran Udara dengan menyiarkannya di radio bagi pengetahuan umum.

“Maklumat kepada orang awam adalah penting untuk memastikan mereka menempuhi tempoh krisis dengan baik,” katanya.

Advertisement