Anda di sini

Pengenalan kutipan tol di CIQ dibuat selepas kajian selama lebih dua tahun

Advertisement

NUSAJAYA: Pengenalan kutipan tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar untuk kenderaan ke Singapura dibuat selepas kajian mengenai perkara berkenaan dilakukan selama lebih dua tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata kutipan tol sepatutnya bermula pada Mei 2012, namun ia tidak diteruskan kerana pada waktu itu kerajaan mempertimbang untuk mengambil alih Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL).

“Hasrat kerajaan untuk mengambil alih EDL yang disiapkan pada April 2012 itu tidak dapat diteruskan kerana melibatkan kos yang tinggi. Selepas perbincangan dan kajian dilakukan selama lebih dua tahun termasuk bersama syarikat konsensi, kerajaan berpendapat agak sukar untuk mengambil alih EDL dan disebabkan itu kita setuju melaksanakan tol,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dan sesi dialog berhubung Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dengan kerajaan negeri Johor, di sini semalam.

Menurut Abdul Wahid kewajaran mengutip tol itu antara lain turut mahu memastikan EDL sepanjang 8.1 kilometer, CIQ dan jalan sekitar dapat diselenggara dengan baik.

Beliau berkata kewujudan EDL itu dilihat berjaya me-ngurangkan kesesakan teruk sekali gus melancarkan lalu lintas terutama di sepanjang Jalan Tebrau, Jalan Pasir Pelangi dan beberapa jalan utama di sekitar bandar raya ini.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan pengenalan kutipan tol baharu bagi kenderaan memasuki Singa-pura dan melaksanakan kadar baharu bagi kenderaan memasuki Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos lepas.

Kadar tol arah masuk Malaysia bagi kenderaan daripada kelas 1 hingga 5 masing-masing adalah RM9.70; RM14.70; RM19.70, RM4.80 dan RM7.80 manakala kadar tol arah keluar pula adalah RM6.80; RM10.20; RM13.60; RM3.40 dan RM5.50.

Tol yang dikutip di CIQ hanya dikenakan bagi kenderaan masuk dan keluar melalui CIQ sahaja dan pengguna EDL yang tidak memasuki republik ber-kenaan yang kebanyakannya merupakan penduduk bandar raya Johor Baharu tidak perlu membayar                       tol. — Bernama

Advertisement