Anda di sini

Mr Fitness sempena BCF pada 17 Ogos

Advertisement

SIBU: Solid Gim menganjurkan pertandingan Mr Fitness julung kalinya pada 17 Ogos ini di Pentas Belia di Dataran Bandar Sibu Fasa I sempena Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2014.

Pemilik gim tersebut, Lau Kah Yii berkata acara itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Belia Sibu (SYC) dan kira-kira 20 orang mengesahkan penyertaan pertandingan tersebut.

Beliau berkata, peserta bukan sahaja dari Sibu tetapi ramai juga dari luar Sibu.

“Kami amat teruja menjadi tuan rumah pada pertandingan ini dan sangat berterima kasih kerana dapat bekerjasama dengan SYC untuk menganjurkan acara ini.

“Melalui pertandingan ini kita boleh mewujudkan kesedaran ramai atau landasan menggalakkan kecergasan serta sukan bina badan sebagai sebuah sukan yang sihat,” katanya sambil menambah bahawa peraduan ini bermula jam 8 malam.

Menurut beliau, 10 pemenang teratas akan membawa pulang hadiah wang tunai dan medal setiap seorang.

Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu Solid Gim dan terbuka.

Beliau berkata, kategori Solid Gim hanya terbuka kepada ahli gim itu sahaja manakala terbuka adalah kepada semua.

“Kira-kira 10 orang ahli Solid Gim mengambil bahagian dalam acara ini. Penyertaan masih dibuka sehingga 15 Ogos ini bagi mereka yang berminat,” jelas beliau sambil menambah bahawa acara itu hanya terbuka kepada lelaki sahaja.

Beliau berkata, mereka yang berminat boleh berkunjung ke Solid Gim, Jalan Tapang, di sini untuk pendaftaran.

Yuran pendaftaran pertandingan adalah RM5 seorang.

Lau berkata, beliau memutuskan menganjurkan acara itu kerana permintaan ramai daripada ahli-ahlinya di Solid Gim.

“Ramai daripada ahli di sini berlatih sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun. Landasan ini boleh menjadi tempat bagi mereka menunjukkan kepada masyarakat usaha keras mereka selama ini,” katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang pemilik gim beliau akan mempertimbang permintaan daripada ahli-ahlinya.

Sementara itu, beliau berharap pertandingan Mr Fitness ini boleh menjadi acara tahunan semasa BCF.

“Tidak banyak program kecergasan dan bina badan, jadi kami berharap dapat melakukan lebih banyak program itu di sini,” katanya.

Peraduan ini terbuka kepada semua orang tanpa mengira usia.

Hakim-hakim pertandingan ini ialah Lau, dua lagi pemilik bersama Solid Gim, Wesley Tiong dan Allen Lee dan seorang lagi ahli Solid Gim, Kong Siew Hui.

Advertisement