Anda di sini

Mahkamah tangguh kes remaja bunuh ibu

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret di sini pagi semalam menangguhkan sehingga 9 September depan untuk sebutan lanjut kes seorang remaja lelaki dituduh melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian ibu kandungnya.

Manakala juvana terbabit diperintahkan supaya ditahan lanjut di Sekolah Tunas Bakti Kuching sementara menunggu tarikh tersebut.

Penangguhan itu dibuat Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenarkan permohonan dikemukakan pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Dalam permohonannya, Khairi memohon agar ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes memandangkan laporan kimia dan laporan bedah siasat mangsa masih belum siap.

Juvana berusia 17 tahun dari Jalan Riam di sini didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, juvana terbabit dituduh dengan niat melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian ibu kandungnya, Marife Resuello Wong yang merupakan warganegara Filipina.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 8.15 pagi, 5 April tahun ini di hadapan Kompleks Tenis, Jalan Datuk Tuah Johari di sini.

Advertisement