KUCHING: Acara ‘Kuching Roadies Weekend’ bakal menjadi medan pertembungan jagoan berbasikal tempatan dan antarabangsa yang akan bersaing bagi merebut kejuaraan.
Perlumbaan yang akan diadakan di sirkit FAC dari 30-31 Ogos ini mempertandingkan dua kategori iaitu senior lelaki dan remaja lelaki.
Menurut penganjur, peserta kategori senior lelaki perlu berumur 19 tahun ke atas manakala kategori remaja lelaki hanya terbuka kepada peserta lahir pada 1996 ke atas.
Dua acara dipertandingkan iaitu ujian masa individu (lelaki dan wanita) pada hari pertama dan perlumbaan sirkit pada hari kedua.
Bagi menjadikan kejohanan kali ini lebih kompetitif, pelumba yang pernah mewakili Sarawak pada SUKMA XVII perlu bersaing dalam kategori senior lelaki.
Penganjur menambah, setiap pasukan atau kelab dibenarkan mendaftar hanya enam pelumba bagi kategori perlumbaan sirkit manakala tiada had peserta bagi kategori ujian masa indidvidu.
Pasukan atau kelab tempatan juga hanya boleh mendaftar dua peserta luar yang tidak menetap Sarawak untuk bertanding.
Bagaimanapun, penyertaan juga terbuka kepada pasukan atau kelab dari luar.
Justeru, penganjur berharap perlumbaan kali ini turut menarik minat ramai pelumba hebat dari luar bagiu menjadikannya lebih menarik.
Hadiah menarik termasuk tajaan dari W.G. Cycles dan Kuching Cycle Hub bakal menanti para pemenang.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA) Zulaihi Seri berkata kejohanan ini memberi peluang kepada pelumba pasukan Corbusier, Saxon Racing dan lain-lain berentap bagi memburu kemenangan.
“Ia juga landasan terbaik bagi pelumba muda meraih pendedahan untuk memantap dan meningkatkan kemahiran mereka,” katanya.
Borang permohonan dan maklumat lanjut mengenai kejohanan boleh diperolehi dari Kuching Cycle Hub, W.G. Cycles atau dengan melayari facebook.com/kuching roadies’weekend.