Anda di sini

Kontraktor hantu hilangkan diri

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus //

SELANGAU: Kontraktor dilantik menyiapkan projek jalan Rumah Rantai Aluk di Hulu Balingian, Tepus di sini didapati menghilangkan diri, menyebabkan projek jalan terbabit terbengkalai selama empat tahun.

Masalah itu menyebabkan penduduk Rumah Rantai berasa terkilan dan hairan kenapa projek jalan masuk ke rumah panjang mereka tidak dilaksanakan.

“Projek jalan menuju rumah panjang kami sepanjang 1.5 km melibatkan kos RM2 juta. Ia mula dilaksanakan pada 2010 dan dijadualkan siap dalam tempoh enam bulan.

“Tetapi dua tahun selepas itu, para pekerja serta kontraktor bertanggungjawab hilang.

“Mereka turut meninggalkan sebanyak 200 beg simen dan sebuah jentera pengorek (jengkaut). Sehingga kini ia masih ditinggalkan di tapak projek terbabit.

“Yang hairannya, ke mana mereka lari? Mereka seolaholah hilang begitu sahaja. Ini sudah masuk empat tahun kami menunggu.

“Kini tapak projek jalan itupun sudah dilitupi belukar dan ada antara bahagiannya terhakis,” kata Tuai Rumah Rantai di sini kelmarin.

Beliau memberitahu, pada mulanya kira-kira 105 penduduk rumah panjang 15 pintu itu berasa gembira dengan pelaksanaan projek jalan terbabit lebih-lebih lagi ia kononnya akan mengambil masa yang singkat untuk disiapkan.

“Jangankan enam bulan, sekarang sudah tahun 2014 namun sehingga kini masih menimbulkan tanda tanya,” tegasnya.

Menurutnya, beliau pernah mengajukan pertanyaan tersebut kepada wakil rakyat di kawasan itu namun mereka mendakwa tidak tahu tentang pergerakan projek terbabit.

Selain itu, beliau juga pernah datang ke pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sibu tetapi disuruh membawa isu terbabit ke ibu pejabat jabatan tersebut di Kuching.

“Sehingga kini, kami tiada mendengar apa-apa perkembangan mengenai projek jalan terbabit sama ada daripada pihak berkenaan atau kontraktor.

“Kami tidak tahu kepada siapa lagi kami bertanya mengenai projek jalan itu. Kos yang digunakan sangat besar namun ia dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Pada masa sekarang, Rantai memberitahu penduduknya hanya bergantung kepada jalan balak.

Jelasnya, jalan balak itu amat berbahaya apabila berlaku hujan kerana becak dan licin.

“Disebabkan itu, terdapat anak-anak yang bersekolah di SK Pelugau dan SMK Hulu Balingian ter-letak kira-kira lima kilometer tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan jalan licin dan becak apabila hujan turun pada sebelah paginya.

“Selain itu, jalan balak yang digunakan kami turut berisiko pada waktu malam sehingga boleh mengancam keselamatan kami,” ujarnya.

Rantai menegaskan bahawa penduduknya tidak menyalahkan kerajaan atau wakil rakyat berkenaan tetapi sekadar ingin tahu kenapa kos sejumlah RM2 juta itu tidak dapat menyiapkan projek jalan mereka yang hanya sepan-jang 1.5 km sahaja.

Beliau berharap pihak berkenaan dapat memberi jawapan kepada mereka mengenai perkembangan projek tersebut agar mereka tidak tertunggu-tunggu.

Advertisement