Anda di sini

Kemeriahan Aidilfitri bertukar pilu bagi Jasni

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun

Kediaman keluarganya di Kampung Bako musnah dalam kebakaran baru-baru ini

KUCHING: Aidilfitri yang biasanya disambut dengan kemeriahan bertukar pilu bagi keluarga Jasni Jamahari apabila kediaman mereka di Kampung Bako musnah dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 1.30 petang baru-baru ini.

Akur dengan nasib yang menimpanya Jasni menganggap mungkin ada hikmah di sebalik insiden yang melanda keluarganya itu.

Ayah kepada enam anak itu berkata, sekarang mereka sekeluarga terpaksa menumpang berteduh di kediman abangnya yang terletak di Taman Mesra Bako.

“Saya memang sedih apabila memikirkan bencana yang menimpa kami sekeluarga.

“Namun saya akur dengan nasib yang menimpa kami ketika orang lain meriah meraikan Aidilfitri,” katanya.

Kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan bernilai RM130,000.

Ketika kejadian menurut Jasni anak bongsunya yang berusia setahun tidur dalam buaian sebelum mengadu berasa panas.

“Selepas itu, isteri membawa anak keluar dari rumah untuk pergi ke rumah jiran.

“Ketika berada di rumah jiran, seorang lagi anak yang berusia 13 tahun memberitahu, melihat api seperti bunga api dan isteri saya terus melihat keadaan sebenar,” ujarnya.

Apabila isterinya tiba di rumah kata Jasni, api sudah marak dan tiada barang dapat diselamatkan.

Prihatin dengan nasib menimpa keluarga Jasni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni semalam menyampaikan sumbangan peribadi.

Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) turut menghulurkan bantuan wang kecemasan sebanyak RM2,500 kepada keluarga mangsa.

Advertisement