Anda di sini

Kecurian sawit jejas bayaran dividen

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus //

Peserta projek usaha sama bimbang kecurian yang berlaku di ladang-ladang

KANOWIT: Pemilik tanah yang menyertai projek usaha sama dengan Boustead Pelita Kanowit Plantation Sdn Bhd melahirkan rasa bimbang mereka mengenai kes kecurian buah kelapa sawit di ladang-ladang itu di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Perladangan Blok B Boustead Pelita Kanowit Penghulu Barnabas Angkis Luang berkata kes itu berlaku sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata satu mesyuarat diadakan dengan pemaju projek dan antara perkara dibincangkan ialah pengagihan dividen.

“Kes mencuri buah kelapa sawit menjejaskan pembayaran dividen kami. Kami percaya dalangnya adalah antara peserta projek ini sendiri yang melakukan perbuatan itu kerana mereka tidak berpuas hati dengan pengendalian dividen,” katanya pada pelancaran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Bawan Zon 1 di Rumah Daniel Rangkong, Sungai Bawan di sini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent menyempurnakan pelancaran KRT itu.

Menurut Barnabas, kes itu berlaku disebabkan rasa tidak puas hati dengan dividen sedikit atau dividen dibayar lewat.

Beliau berkata dalam projek usaha sama itu pemaju mendapat keuntungan sebanyak 60 peratus manakala pemilik tanah 30 peratus dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (10 peratus).

“Perbuatan sedemikian tidak adil kepada semua peserta projek usaha sama terbabit. Kami mahu mereka menghentikan perbuatan itu untuk kebaikan semua,” tegasnya.

Barnabas memberitahu, dividen dibayar tahun lalu ialah RM750 bagi setiap hektar tanah yang ditanam dengan kelapa sawit.

Menurutnya, projek yang meliputi kira-kira 6,000 hektar tanah dan melibatkan 1,700 pemilik tanah itu dimulakan pada 1999 bagi meningkatkan ekonomi penduduk.

Advertisement