Anda di sini

Karnival SNPA Sibu 2014 pada 9 Ogos

Advertisement

SIBU: Persatuan Kejururawatan Profesional Sarawak (SNPA) Cawangan Sibu menganjurkan Karnival SNPA 2014 pada 9 Ogos (Sabtu ini) jam 8 pagi di Pusat Agape, Jalan Alan di sini.

Pengerusi Bersama SNPA Cawangan Sibu Margareth Wong berkata pelbagai program menarik diadakan sepanjang karnival itu yang julung kali diadakan.

“Salah satu acara kemuncak karnival itu ialah pameran makanan dan perdagangan. Sebanyak 73 gerai ditempah orang ramai,” katanya pada sidang akhbar di sini petang kelmarin.

Beliau berkata, gerai-gerai yang menawarkan barangan seperti produk kering termasuk ikan masin, kek, produk hutan, makanan segera dan minuman dan banyak lagi.

Menurutnya, dua syarikat automobil, pemaju perumahan, pembekal perubatan dan banyak syarikat perniagaan lain turut mengambil bahagian pada pameran perdagangan itu.

“Satu lagi tawaran menarik di karnival itu ialah pemeriksaan kesihatan percuma bagi kencing manis, tekanan darah tinggi, penglihatan dan pendengaran.

“Pakej ujian darah dengan kadar menarik juga ditawarkan oleh makmal swasta,” jelasnya.

Beliau berkata, terdapat juga permainan menyeronokkan untuk kanak-kanak berumur antara enam hingga 10 tahun serta demonstrasi taichi khas oleh Akademi Taichi Kuching.

Acara tambahan ialah tiga kursus pendek iaitu dandanan peribadi, pembangunan laman web dan kesihatan mental turut ditawarkan oleh profesional kesihatan kepada pengunjung.

Menurut beliau, perasmian karnival itu akan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King pada jam 8 pagi.

Pasa sebelah malamnya, SNPA Sibu turut mengadakan Majlis Makan Malam Gala dan Ratu Kebaya SNPA 2014 mulai jam 7 malam di Hotel Kingwood di sini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah dijangka hadir pada majlis tersebut.

“Pada majlis sama, beliau juga melancarkan 11 cawangan SNPA dan memahkotakan Ratu Kebaya SNPA 2014,” katanya sambil memberitahu peserta pertandingan Ratu Kebaya adalah daripada 11 cawangan SNPA.

Sementara itu, keseluruhan acara karnival itu dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu, Hospital Sibu dan Pejabat Pergigian Bahagian Sibu.

Beliau berkata dua institusi iaitu Universiti SEGi, Fakulti Perubatan UNIMAS dan Jabatan Perubatan Psikologi terlibat secara aktif dalam penganjuran karnival tersebut.

Sebarang pertanyaan hubungi Pengerusi SPNA Sibu Rose Kong di talian 019-8161193 atau Ling Leh Ping (016-8663769).

Hadir sama Dekan Fakulti Perubatan Universiti SEGi Kampus Kecil Sibu Profesor Dr Mohd Raili Suhaili.

Advertisement