Anda di sini

IPU di Sri Aman turun ke paras sederhana

Advertisement

KUCHING: Selepas mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan 108 Isnin lepas, bacaan di Sri Aman turun ke paras sederhana dengan bacaan 59.

Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Peter Sawal berkata, peningkatan bacaan IPU di Sri Aman kelmarin adalah disebabkan kebakaran berdekatan stesen IPU.

Berdasarkan bacaan IPU menurutnya, keseluruhan kawasan di Sarawak mencatat bacaan yang sihat.

“Walaupun bacaan IPU berada pada tahap baik namun keadaan cuaca panas mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Setakat jam 5 petang semalam sembilan lagi kawasan di negeri ini mencatat bacaan IPU baik dan sederhana dengan ILP Miri (88), Miri (79), Kuching (63), Samarahan (61), Bintulu (48), Kapit (39), Sibu (39), Sarikei (36) dan Limbang (34).

Mengikut klasifikasi Jabatan Alam Sekitar (JAS) bacaan IPU 0-50 dikategorikan baik, sederhana (51-100), tidak sihat (100-200), sangat tidak sihat (200-300) dan berbahaya (300 dan atas).

Melalui tinjauan satelit pada 4 Ogos lepas katanya terdapat beberapa tompok panas di negeri ini terutama di kawasan Miri dan Kapit.

Sehubungan itu, Peter menasihati orang ramai supaya mematuhi setiap arahan yang diberikan pihak berkuasa.

“Kita tidak mahu jerebu terus berlaku, jadi kita perlu dengar arahan pihak berkuasa,” ujarnya.

Advertisement