Anda di sini

Hari Wanita 2014 tampil Bicara Wanita bersama KM

Advertisement

KUCHING: Sambutan Hari Wanita  2014 Peringkat Negerimenampilkan pengisian yang menarik iaitu Bicara Wanita bersama Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem sebagai prasambutan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, Bicara Wanita bersama Ketua Menteri itu diadakan pada 18 September iaitu sebelum sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri pada 27 September 2014.

“Objektif Bicara Wanita ini adalah amat penting bagi membolehkan wanita kita menyuarakan keprihatinan mereka dan kita mahu dialog produktif bersama Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kita.

“Ia menjadi satu wadah penting kerana kita mendengar suara wanita dan keprihatinan mereka dalam pelbagai bidang terutama berkaitan dasar selain harapan kita untuk mencapai apa yang kita belum dapat capai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Hari Wanita 2014 Peringkat Negeri yang dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Rodziah Morshidi, Pengarah Biro Wanita Noriah Ahmad serta ahli jawatankuasa induk lain di pejabatnya di sini, semalam.

Tambah Fatimah, jika dilihat dari segi kemajuan wanita di Sarawak sama ada dari segi ekonomi, politik, sosial mahupun pelajaran ia menunjukkan perkembangan yang baik selepas mencapai kemerdekaan.

Namun kata beliau, masih ada beberapa bidang yang dirasakan perlu diusahakan dengan gigih untuk memastikan matlamat dapat dicapai iaitu termasuk mencapai 30 peratus wanita berada dalam pembuat keputusan.

“Perkara seperti ini yang kita mahu lihat, yang mana kita mahu tahu di mana jurang atau kelemahannya bagi mencapai peratusan berkenaan.

“Antara lain yang akan kita suarakan juga adalah tentang sistem sokongan iaitu menubuhkan taska di tempat kerja, yang kita rasakan amat lambat perkembangannya,” tegas beliau.

Sehingga kini hanya empat taska di tempat kerja di Sarawak dan ia amat penting bagi membantu golongan wanita yang bekerja.

Mengulas lanjut mengenai Hari Wanita, perasmiannya akan disempurnakan oleh Adenan yang turut diiringi isteri beliau Puan Sri Datuk Jamilah Anu pada 27 September 2014.

Majlis perasmian sambutan yang bertemakan Sarawak Women in Volunteerism-Caring Hearts, Touching Lives itu dijangka akan disertai lebih 2,000 peserta terdiri daripada wanita pelbagai lapisan masyarakat iaitu sektor kerajaan, swasta, pertubuhan wanita dan sebagainya.

Selain sambutan peringkat negeri, Hari Wanita turut diadakan di 31 peringkat daerah yang akan diselaras serta dipengerusikan oleh pegawai daerah.

Pada masa yang sama Fatimah memberitahu, selain program berkenaan kementerian beliau juga dijangka menganjurkan program Peace For Humanity pada bulan yang sama sebagai fasilitator kepada program Hari Wanita.

“Program ini mendapat kerjasama daripada  pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan serta badan-badan korporat.

“Ini penting untuk kita memupuk nilai-nilai kemanusiaan kepada anak-anak muda dan kita harus memastikan bahawa keamanan ini dapat kekal dengan dipupuk serta dipelihara oleh generasi muda,” katanya.

Advertisement