Anda di sini

Aslina ditawar belajar di Amerika Syarikat

Advertisement

KUCHING: Bintang tenis wanita dari Sarawak, Aslina Chua An Ping menjadi pemain terbaharu mendapat biasiswa penuh dari universiti di Amerika Syarikat.

Pemenang pingat emas SUKMA XVII itu ditawarkan biasiswa selama 4-5 tahun di Michigan State University.

Permohonan Aslina mendapat sokongan penuh dari Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) dan jurulatih Romania Doru Murariu yang menjadi jurulatih pemain itu selama enam bulan di Akademi Kecergasan Pemain Tenis di Florida, Amerika Syarikat.

Menurut Presiden SLTA, Datuk Patrick Liew seramai 40 pemain tenis dari Sarawak telah menamatkan dan sedang melanjutkan pengajian dalam biasiswa tenis yang ditawarkan oleh universiti di Amerika Syarikat dan Australia.

“Tenis menyediakan peluang kepada pemain berbakat kita terutama mereka yang telah bertanding dalam SUKMA dan Remaja ITFmelanjutkan pengajian di luar negara.

“Ini sangat berguna kerana sekurang-kurangnya pemain memperolehi pendidikan akademik bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik sekiranya tidak dapat menjadi pemain tenis profesional,” katanya.

Menurut Liew, beliau menjangkakan lebih ramai pemain terutama dari Kuching akan melanjutkan pengajian ke luar negara di bawah biasiswa tenis di masa hadapan seperti Alvin Teng, Rohaizat Achop dan Belinda Liong.

Sementara itu, Aslina merakamkan terima kasih kepada SLTA dan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) kerana terus memberikan sokongan dan bantuan bagi membolehkan beliau mendapatkan biasiswa tersebut.

Pemain berusia 18 tahun itu berkata akan mengikuti program pra-medikal pada pertengahan bulan ini sambil menambah akan belajar dan bermain tenis di sana secara separuh masa.

“Saya akan menyertai kejohanan Women’s Futures dan kejohanan antara universiti pada musim panas,” ujar anak sulung dari tiga beradik itu.

Beliau mula bermain tenis sejak berusia enam hingga sembilan tahun sebelum mengikuti ayahnya ke Dubai dan kembali bermain pada usia 13 tahun.

Pemain wanita no.1 negara itu merupakan anak didik jurulatih Ronald Martin dan Oliver Riveira di bawah program pembangunan remaja SLTA.

Pada Ogos 2013, Aslina menjalani latihan di bawah Murariu sebelum kembali ke Sarawak untuk mewakili negeri pada SUKMA XVII.

Beliau berjaya menggondol satu emas, dua perak untuk membantu Sarawak muncul juara keseluruhan dalam acara tenis pada temasya tersebut.

“Saya sangat gembira kerana menjadi sebahagian daripada pasukan yang berjaya memenangi juara keseluruhan dalam acara tenis buat Sarawak pada SUKMA 2014.

“Saya juga bermain dalam Piala Fed, ITF remaja dan beberapa kejohanan Futures. Saya memperolehi dua mata WTA pertama pada kejohanan Turkey Women’s Futures US$10,000 pada tahun lepas,” katanya.

Pemain yang berada pada ranking ke-500 ITF itu juga pernah memenangi BMW Masters yang diadakan di Kuala Lumpur pada 2012.

Katanya, muncul johan pada SUKMA XVII merupakan kemuncak dalam karier tenisnya sekali gus menjadi pendorong kepada beliau untuk terus berusaha memburu lebih banyak kejayaan di masa akan datang.

“Saya berharap lebih ramai pemain tempatan lahir di masa akan datang dan berusaha keras untuk membantu mengekalkan dominasi Sarawak dalam sukan tenis di negara ini,” tambahnya.

Advertisement