Anda di sini

60 gelandangan dan individu kurang bernasib baik diraikan oleh PAAB

Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) semalam meraikan 60 individu gelandangan dan kurang bernasib baik di bawah kendalian Pertiwi Soup Kitchen pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitrinya di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata adalah menjadi traidisi kepada PAAB untuk turut sama menyebarkan kemeriahan Syawal kepada golongan tidak bernasib baik, selain mengeratkan silaturahim sesama insan.

“Walaupun tahun ini banyak majlis yang dibatalkan (kerana tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 dan MH370), kami merasakan rumah terbuka tanpa unsur hiburan keterlaluan boleh menjadi medium untuk meraikan mereka dan berjumpa mereka yang terlibat dengan kami,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, warga emas yang hidup sebatang kara,  Ahmad Mat Lazim, 63, berkata majlis itu adalah rumah terbuka pertama yang dihadirinya pada tahun ini, dan peluang itu digunakan untuk beraya bersama-sama rakan dalam suasana meriah.

“Sebelum ini, saya hanya beraya berdua dengan rakan, yang juga sebatang kara. Sebab itu teruja bila dapat tahu dijemput untuk hadir, sebab dalam keadaan ramai-ramai, baharu terasa kemeriahan raya,” katanya kepada Bernama.

Bagi Che Harun Che Mien, 40, beliau memuji usaha syarikat yang tidak lupa dengan golongan sepertinya, selain berterima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertiwi yang tidak berputus asa untuk memastikan individu tidak bernasib baik turut mendapat peluang ‘makan sedap’ pada musim raya.

“Ini kali pertama kali saya mengikuti Pertiwi ke majlis rumah terbuka dan tidak pernah sangka ia akan semeriah ini,” katanya.

Pengalaman sama juga dirasa warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Esah, 67, yang turut pertama kali dibawa ke majlis rumah terbuka, selepas hari rayanya ‘dihabiskan’ dengan berlegar-legar di sekitar ibu kota, khususnya di Jalan Masjid India. — Bernama

Advertisement