Anda di sini

16 pasukan rebut gelaran bola sepak antarabangsa

Advertisement

KUALA LUMPUR: Enam belas pasukan, termasuk beberapa pasukan veteran dari luar negara, akan merebut gelaran juara pada Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah Antarabangsa Royal Selangor Club (RSC)-Tiger Ke-14 di Gelanggang Sukan RSC Bukit Kiara, di sini hujung minggu ini.

Pengerusi jawatankuasa penganjur, Vincent Thambyrajah berkata peningkatan jumlah pasukan yang mengambil bahagian pada tahun ini menunjukkan kejohanan itu terus mendapat sambutan hebat daripada kelab tempatan dan antarabangsa.

Katanya penganjur memberi keutamaan kepada pasukan yang mempunyai bekas pemain senior antarabangsa dan negeri dalam kejohanan ini, yang terbahagi kepada dua kategori — Masters (40 tahun ke atas) dan Grand Masters (50 tahun ke atas), dan menggunakan format round-robin.

“Banyak pasukan berkualiti mengambil bahagian pada tahun ini, berbanding tahun-tahun terdahulu… Kami menetapkan kejohanan ini hanya berlangsung selama dua hari kerana tidak mahu mengganggu pasukan antarabangsa yang mungkin mempunyai aktiviti lain,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman tentang kejohanan itu oleh presiden RSC Andrew Bryan Perera di sini semalam.

Beliau berkata pemenang kategori Masters dan Grand Masters (pertandingan merebut piala) masing-masing akan menerima hadiah RM2,000, trofi rebutan dan pingat, manakala naib johan dalam kedua-dua kategori masing-masing akan menerima RM1,000 serta pingat.

Johan dan naib johan pertandingan Plate dalam kedua-dua kategori pula masing-masing akan menerima RM800 dan RM500 serta pingat.

Sementara itu, Thambyrajah berkata 16 pasukan akan bersaing dalam kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Bawah 12 Tahun Tujuh Sebelah RSC ke-12, yang diadakan serentak dengan kejohanan untuk veteran di venue sama. — Bernama

Advertisement