KUALA LUMPUR: Urusan membawa pulang mayat rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 akan dibincang dengan waris masing-masing dan dilaksanakan seperti yang mereka harapkan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata waris mangsa akan dimaklumkan apabila semua urusan mengenal pasti mangsa dan kerja forensik selesai dilakukan.
“Usaha mengesan dan mengenal pasti identiti mangsa tragedi MH17 kini diteruskan. Kami akan sentiasa mendapatkan pandangan waris dan berusaha membawa pulang mayat berkenaan seperti yang mereka inginkan.
“Persiapan sedang dibuat untuk mengadakan hari berkabung kebangsaan sebaik sahaja semua mayat berkenaan tiba di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam apabila ia dipercayai ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai. — Bernama