Anda di sini

Tindakan pihak burukkan projek Empangan Bengoh dikecam

Advertisement

KUCHING: Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengecam tindakan segelintir pihak khususnya pembangkang yang berterusan menghasut penduduk mengenai projek Empangan Bengoh.

Hasutan serta tindakan mengapi-apikan penduduk ini, menurut Awang Tengah telah menyebabkan penduduk yang terlibat dengan projek itu enggan berpindah ke kawasan yang telah disediakan kerajaan.

“Saya kesal dengan kelewatan projek ini kerana projek ini amat penting kepada ibu negeri kita kerana tanpa Empangan Bengoh, Kuching dan kawasan sekitarnya akan berhadapan dengan masalah air pada masa akan datang.

“Tetapi saya lebih kesal apabila banyak pihak khasnya pembangkang terus melontarkan kata-kata tidak benar mengenai pelan jangka panjang kerajaan ini sehingga menyebabkan kesulitan kepada kerja-kerja pelaksanaannya.

“Mereka ini tidak faham mengenai keseluruhan sektor air yang dirancang kerajaan. Jadi saya harap mereka akan hentikan perbuatan menghasut rakyat terutama di kawasan yang terlibat dengan Empangan Bengoh,” ujarnya.

Awang Tengah berkata demikian ketika ditanya pada sidang media di Wisma Sumber Alam, di sini semalam selepas mesyuarat khas mengenai masalah bekalan air bersama agensi-agensi berkaitan.

Tambah Awang Tengah lagi, jika mereka yang suka menghasut ini benar-benar ambil berat mengenai sumber air mentah negeri ini mereka harus menghentikan perbuatan ini bagi membolehkan kerja-kerja di Empangan Bengoh dapat dilaksanakan dan tidak tertangguh.

Bagaimanapun katanya, masalah-masalah ini telah  diatasi dan pihak kontraktor yang bertanggungjawab meneruskan baki-baki kerja yang tertangguh.

Dalam pada itu, Empangan Bengoh merupakan pelan jangka panjang kerajaan bagi menampung keperluan sumber air mentah kepada penduduk di ibu negeri dan kawasan sekitarnya.

Terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari selatan bandar raya Kuching, Empangan Bengoh pada awalnya dijangka beroperasi pada 2012.

Dengan kawasan tadahan seluas 10.21 km persegi, Empangan Bengoh dijangka mampu menampung keperluan air bersih untuk hampir dua juta pengguna di sekitar bandar raya Kuching menjelang 2030.

Empangan Bengoh di Puncak Borneo mampu membekalkan 130 juta mililiter tambahan air mentah kepada Loji Rawatan Air Batu Kitang sebelum disalur kepada pengguna di sekitar bahagian Kuching.

Projek yang bermula pada 7 Ogos 2007 dengan kos RM310 juta ini pada mulanya dijangka beroperasi pada tahun 2012 namun sehingga kini kerja-kerja penakungan masih gagal dilaksanakan.

Advertisement