Anda di sini

Sukan Komanwel Glasgow ‘yang terbaik’

Advertisement

England ungguli kutipan pingat buat kali pertama sejak 1986, akhiri penguasaan Australia

GLASGOW, Scotland: Sukan Komanwel Glasgow diangkat sebagai ‘yang terbaik’ selepas temasya 11 hari itu berakhir dengan penuh emosi di Hampden Park, Ahad lepas.

Satu temasya yang sudah lama diketepikan dalam dunia sukan yang mementingkan keuntungan kewangan dewasa ini, berakhir dengan England mengungguli kutipan pingat buat kali pertama sejak 1986 dan mendapat pujian dari segi penganjurannya.

“Sukan ini menjadikan kami semua sangat bangga dan ia benar-benar menyatukan keluarga ini bersama,” kata Tengku Imran, Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) semasa majlis penutupan yang diserikan oleh penyanyi pop Kylie Minogue dan penyajak Rabbie Burns.

“Scotland, dan Glasgow, anda benar-benar menganjurkan Sukan yang terbaik dalam setiap aspek.”

Kenyataan Tengku Imran itu menyokong komen yang sama pada hari sebelumnya oleh Mike Hooper, Ketua Eksekutif CGF, yang menggambarkan temasya kali ini sebagai “paling menyerlah dalam sejarah pergerakan Komanwel”.

Dengan lebih dari 4,700 atlet bertanding untuk 261 pingat emas, bendera Sukan Komanwel kemudian diserahkan kepada tuan rumah 2018, Gold Coast, Australia.

England memulakan hari terakhir temasya dengan sudah dijamin tempat teratas kutipan pingat buat kali pertama sejak 1986, menamatkan penguasaan Australia.

Pada akhirnya, dengan hanya 11 pingat emas ditawarkan, England mengesahkan 174 pingat, dengan 58 pingat emas.

Australia di tangga kedua dengan 137 pingat, dengan 49 emas.

Pada hari terakhir yang dibasahi hujan di Glasgow, Lizzie Armitstead menambah emas England dalam acara berbasikal jalan raya wanita, mengatasi pencapaiannya empat tahun yang lalu di New Delhi.

Rakan senegaranya, Emma Pooley, menamatkan saingan di tempat kedua dan menambah satu lagi pingat perak dalam acara ujian masa.

“Saya boleh akhirnya menganggap diri saya sebagai juara. Ia sangat istimewa dan sesuatu yang saya sentiasa impikan,” kata Armitstead.

“Saya merasakan saya selayaknya dengan pingat emas ini. Saya berlatih dengan gigih dan sentiasa berada di atas podium tetapi saya tidak kerap di tangga teratas.”

Penunggang dari Wales, Geraint Thomas, kemudian memenangi acara yang sama dalam bahagian lelaki untuk jarak 168km.

Thomas, yang memenangi pingat gangsa dalam ujian masa, terselamat mengalami masalah tayar pancit ketika berbaki 6km ke garisan penamat.

Tempat kedua dimenangi Jack Bauer dari New Zealand dan Scott Thwaites dari England mengutip gangsa.

Australia, seperti yang dijangkakan, memenangi emas dalam acara hoki lelaki selepas membelasah India 4-0 untuk emas kelima berturut-turut di Sukan Komanwel, dan dalam acara bola jaring, mereka juga mengutip emas apabila menewaskan New Zealand, 58-40.

Harapan tuan rumah untuk emas ke-20 mereka berkecai apabila Kirsty Gilmour tewas 21-14 dan 21-7 kepada Michelle Li dari Kanada pada final badminton perseorangan wanita.

Jaguh India, Kashyap Parupalli memenangi acara perseorangan lelaki apa- bila menewaskan Derek Wong dari Singapura dalam tiga set.

“Saya berasa sangat gembira,” kata Kashyap.

“Kejuaraan ini sangat bermakna kepada saya. Sukan Komanwel hanya berlangsung setiap empat tahun dan ia adalah apa yang membakar semangat saya.”

Pasangan suami isteri, Chris dan Gabrielle Adcock, tidak menghadapi masalah untuk memenangi acara bergu campuran sementara Khe Wei Won menyamai rekod emas acara badminton Malaysia apabila memenangi emas keempatnya sama seperti Eei Hun Chun selepas memenangi acara bergu wanita bersama-sama Vivian Kah Mun Hoo.

Malaysia juga memenangi acara bergu lelaki apabila Tan Wee Kiong dan Goh Wei Shem menewaskan bergu Singapura.

Australia memenangi dua emas dalam acara skuasy apabila David Palmer, menambah pingat emas apabila bergandingan dengan Rachael Grinham untuk menewaskan pasangan England, Alison Waters dan Peter Barker 11-8 dan 11-10 dalam bergu campuran.

Beliau kemudian bergandingan dengan Cameron Pilley untuk memenangi emas acara bergu lelaki. — AFP

Advertisement